Rabu, 28 Disember 2022 | 4:43pm
Pengembara antarabangsa ke Hong Kong tidak perlu lagi melakukan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) COVID-19 apabila tiba di negara itu. - Foto AFP
Pengembara antarabangsa ke Hong Kong tidak perlu lagi melakukan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) COVID-19 apabila tiba di negara itu. - Foto AFP

Pengembara asing ke Hong Kong tidak perlu jalani ujian saringan COVID-19

HONG KONG: Pengembara antarabangsa ke Hong Kong tidak perlu lagi melakukan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) COVID-19 apabila tiba di negara itu.

Menurut penyiar tempatan, TVB yang memetik sumber, pas vaksin yang diperlukan untuk memasuki kebanyakan lokasi akan turut dibatalkan.

Pemimpin Hong Kong, John Lee dijadualkan mengadakan taklimat media hari ini untuk memberi butiran lanjut.

Lee pada Sabtu lalu menjelaskan, bahawa Hong Kong akan membuka semula sempadannya dengan Tanah Besar China menjelang pertengahan bulan depan.

Sejak tiga tahun lalu, Hong Kong mengikut langkah dilaksanakan China dalam menangani pandemik COVID-19.

Mulai bulan ini, China turut melaksanakan perubahan drastik terhadap dasar memerangi pandemik itu, sekali gus melonggarkan rejim sekatan COVID-19 yang paling ketat di dunia dan ujian saringan secara meluas.

Pihak berkuasa nChina juga turut memutuskan untuk memansuhkan syarat yang mewajibkan pelancong asing menjalani kuarantin mulai 8 Januari ini.

Sekatan ke atas perjalanan di antara Hong Kong dan China dikenakan pada awal 2020.

Pembukaan semula sempadan itu sudah ditangguhkan beberapa kali kerana wabak yang melanda Hong Kong dan tanah besar China.

Penumpang antarabangsa yang tiba di Hong Kong sejak pertengahan bulan lalu tidak lagi tertakluk kepada kawalan pergerakan berkaitan COVID-19 atau dihalang ke tempat tertentu.

Ketika Hong Kong menghapuskan banyak peraturan COVID-19 yang ketat dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, pelitup muka masih diwajibkan di tempat awam melainkan ketika bersukan, manakala ketibaan antarabangsa dikehendaki melakukan ujian PCR COVID-19 ketika ketibaan dan perlu melakukannya sekali lagi dua hari kemudian.

Pas vaksin mandatori turut dikuatkuasakan sejak Februari.

Lee sebelum ini berkata, kerajaan mengambil pendekatan secara berperingkat untuk melonggarkan sekatan bagi meminimumkan risiko kesihatan awam. - REUTERS

Berita Harian X