Selasa, 27 Disember 2022 | 12:49pm

China mansuh kuarantin untuk ketibaan luar negara mulai 8 Januari

BEIJING: China akan memansuhkan syarat kuarantin wajib bagi ketibaan luar negara mulai 8 Januari ini, kata Pihak Berkuasa Kesihatannya semalam, selepas hampir tiga tahun kerajaan mengenakan sekatan ketat sempadan bagi membendung COVID-19.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) mengumumkan langkah membendung penularan wabak yang diturunkan untuk COVID-19 menerusi notis dalam talian.

Selain itu, suruhanjaya terbabit turut menjelaskan, pelancong hanya memerlukan ujian saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) yang diambil 48 jam sebelum penerbangan untuk memasuki China.

Pengumuman itu adalah langkah terbaru Beijing melonggarkan dasar 'Sifar-COVID-19' selepas ia secara tiba-tiba membatalkan ujian mandatori dan penutupan awal bulan ini.

"Berdasarkan undang-undang kuarantin kesihatan kebangsaan, langkah kuarantin penyakit berjangkit tidak lagi akan diambil terhadap pengembara dan barangan yang masuk," kata NHC.

Bagaimanapun, menurut notis itu lagi, orang ramai perlu mengambil ujian PCR dalam tempoh 48 jam sebelum tiba di China, sambil memaklumkan sekatan mengehadkan bilangan penerbangan antarabangsa juga akan dimansuhkan.

Langkah itu akan berkuat kuasa mulai 8 Januari, apabila COVID-19 diturunkan daripada peringkat teratas penyakit tidak berjangkit, Kelas A, kepada Kelas B peringkat kedua, kata NHC dalam notis berasingan, semalam.

Tidak seperti kebanyakan negara lain yang sudah mengadaptasi kehidupan dengan wabak itu, China sehingga baru-baru ini mengekalkan sekatan yang keras dan sebahagian besarnya wilayahnya mengamalkan penutupan dengan sendirinya.

Sejak Mac 2020, semua penumpang yang tiba di negara ini perlu menjalani sekurang-kurangnya dua minggu kuarantin berpusat mandatori, kemudian meningkat kepada tiga minggu.

Langkah ketat itu sangat mengganggu pelancongan antarabangsa dan perjalanan perniagaan, seterusnya menjejaskan ekonomi negara yang dilanda COVID-19.

Keadaan hotel kuarantin yang tidak seragam, sekatan keras visa dan harga penerbangan yang tinggi disebabkan oleh laluan antarabangsa yang sangat terbatas turut mencetuskan penghijrahan besar-besaran ekspatriat dari negara terbabit dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, pada awal tahun ini, China melonggarkan sedikit sekatan visa, membenarkan pasangan, ibu bapa atau saudara rapat warga negara China memohon visa perjumpaan keluarga.

Kunjungan pemimpin dunia juga meningkat sejak Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing pada Februari. - AFP

Pengembara membawa bagasi masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital di China ketika penularan wabak COVID-19 terus meningkat di Beijing. - Foto REUTERS
Pengembara membawa bagasi masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital di China ketika penularan wabak COVID-19 terus meningkat di Beijing. - Foto REUTERS
Berita Harian X