Isnin, 26 Disember 2022 | 1:57pm
Orang ramai berasak-asak ketika menaiki tren bawah tanah ketika Beijing, China dilanda COVID-19. - Foto REUTERS
Orang ramai berasak-asak ketika menaiki tren bawah tanah ketika Beijing, China dilanda COVID-19. - Foto REUTERS

Sejuta kes COVID-19 setiap hari di Zhejiang, China

BEIJING: Wilayah perindustrian besar Zhejiang berhampiran Shanghai, China sedang bergelut dengan kira-kira sejuta jangkitan baharu COVID-19 setiap hari.

Jumlah itu dijangka meningkat dua kali ganda dalam tempoh beberapa hari akan datang, kata kerajaan wilayah itu pada Ahad.

Walaupun terdapat peningkatan rekod kes di seluruh China, tiada kematian COVID-19 dilaporkan di tanah besar selama lima hari hingga Sabtu lalu, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China semalam.

Rakyat dan pakar meminta data yang lebih tepat apabila jangkitan meningkat selepas Beijing membuat perubahan besar kepada dasar 'Sifar COVID-19' yang meletakkan ratusan juta rakyatnya di bawah sekatan tanpa henti dan menjejaskan ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Angka jangkitan dari seluruh China menjadi tidak lengkap apabila Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan berhenti melaporkan jangkitan tanpa gejala, menjadikannya lebih sukar untuk mengesan jangkitan.

Semalam, suruhanjaya itu berhenti melaporkan angka harian, yang kemudian diterbitkan oleh CDC China.

Zhejiang adalah antara beberapa kawasan yang menganggarkan peningkatan baru-baru ini dalam kadar jangkitan termasuk kes tanpa gejala.

"Kemuncak jangkitan dianggarkan muncul lebih awal di Zhejiang dan memasuki tempoh tahap tinggi sekitar sambutan Tahun Baharu, di mana jumlah jangkitan baharu harian akan mencecah sehingga dua juta," kata kerajaan Zhejiang dalam satu kenyataan.

Kerajaan Zhejiang, dengan 65.4 juta penduduk, berkata antara 13,583 jangkitan yang dirawat di hospital wilayah itu, seorang pesakit mengalami simptom teruk akibat COVID-19 manakala 242 jangkitan teruk dan kritikal disebabkan oleh penyakit kronik atau menghidap penyakit lain untuk tempoh yang lama.

Anggota polis memeriksa kereta yang musnah akibat serangan roket berhampiran taman permainan sebuah kawasan kediaman di Kyiv, Ukraine. - Foto AP
Anggota polis memeriksa kereta yang musnah akibat serangan roket berhampiran taman permainan sebuah kawasan kediaman di Kyiv, Ukraine. - Foto AP

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menerima data dari China mengenai kemasukan ke hospital COVID-19 baharu sejak Beijing melonggarkan sekatannya.

WHO berkata jurang data mungkin berlaku kerana pihak berkuasa bergelut untuk mengira kes di negara paling ramai penduduk di dunia itu.

"China sedang memasuki minggu paling berbahaya dalam pandemik. Pihak berkuasa kini hampir tidak dapat memperlahankan penularan jangkitan.

"Tambahan pula, pergerakan menjelang Tahun Baharu Cina akan bermula dan mana-mana bahagian negara yang tidak mengalami gelombang besar COVID-19, sudah tentu akan menghadapinya," kata nota penyelidikan dari Capital Economics.

Sementara itu, bandar Qingdao dan Dongguan masing-masing menganggarkan puluhan ribu jangkitan COVID-19 setiap hari baru-baru ini, jauh lebih tinggi daripada bilangan harian jangkitan kes tanpa gejala kebangsaan negara itu.

Sistem penjagaan kesihatan negara mengalami tekanan besar, dengan kakitangan diminta bekerja walaupun ketika sakit, malah pekerja perubatan yang bersara di kawasan terpencil dipanggil bekerja semula untuk membantu masyarakat akar umbi, menurut media kerajaan.

Keperluan mendesak sekarang ialah ketibaan Tahun Baharu Cina pada Januari ini, apabila sejumlah besar orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing.

Lawatan ke klinik demam Zhejiang kini mencecah 408,400 kes sehari, iaitu 14 kali daripada tahap biasa berbanding minggu lalu, kata seorang pegawai Zhejiang pada sidang akhbar.

Rujukan harian ke pusat kecemasan di ibu kota Zhejiang, Hangzhou, baru-baru ini meningkat lebih tiga kali ganda secara purata berbanding kadar tahun lalu, lapor televisyen rasmi negeri semalam, memetik seorang pegawai kesihatan Hangzhou.

Bandar timur Suzhou berkata, lewat Sabtu talian kecemasannya menerima rekod 7,233 panggilan pada Khamis. - REUTERS

Berita Harian X