TAIPEI: Tentera China menghantar 71 pesawat dan tujuh kapal ke Taiwan dalam tempoh 24 jam, di bawah operasi ketenteraan bertujuan memberi amaran atau menakut-nakutkan pihak lawan, kata Kementerian Pertahanan Taiwan hari ini.
Tindakan itu dilakukan selepas China menyatakan kemarahan terhadap peruntukan kepada Taiwan dalam perbelanjaan pertahanan tahunan Amerika Syarikat (AS) menerusi rang undang-undang (RUU) yang diluluskan pada Sabtu lalu.
Kenyataannya itu merujuk kepada RUU perbelanjaan pertahanan AS, yang menyebut China sebagai cabaran strategik.
Gangguan tentera China terhadap Taiwan yang diperintah sendiri tetapi didakwa China sebagai wilayahnya sendiri, meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan tentera China dilaporkan menghantar pesawat atau kapal ke pulau itu hampir setiap hari.
Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, antara 6 pagi sejak semalam dan 6 pagi tadi, 47 pesawat China melintasi median Selat Taiwan, iaitu sempadan tidak rasmi yang pernah diterima tanpa bantahan oleh kedua-dua pihak.
Antara pesawat yang dihantar China ke Taiwan ialah 18 jet pejuang J-16, 11 pesawat pejuang J-1, enam pesawat pejuang Su-30 dan dron.
Taiwan berkata, pihaknya memantau pergerakan China melalui sistem peluru berpandu berasaskan darat serta kapal tentera lautnya sendiri.
"Ini adalah tindak balas tegas terhadap peningkatan dan provokasi semasa AS-Taiwan," kata jurucakap Komando Teater Timur Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), Shi Yi, dalam satu kenyataan semalam.
Ia mengumumkan, PLA sedang mengadakan rondaan tempur bersama dan latihan serangan bersama di perairan sekitar Taiwan.
Berkenaan dengan rantau Indo-Pasifik, RUU perbelanjaan pertahanan AS membenarkan peningkatan kerjasama keselamatan dengan Taiwan dan memohon kerjasama meluas dengan India mengenai teknologi pertahanan baharu, kesediaan dan logistik.
Tentera China sering menggunakan latihan ketenteraan yang besar sebagai demonstrasi kekerasan bagi bertindak balas terhadap tindakan kerajaan AS yang menyokong Taiwan.
Tentera China menjalankan latihan ketenteraan secara langsung pada Ogos lalu sebagai tindak balas kepada lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi, ke Taiwan.
Beijing melihat lawatan daripada kerajaan asing ke pulau itu sebagai pengiktirafan 'de facto' pulau itu sebagai bebas dan mencabar tuntutan kedaulatan China. - AP