KABUL: Beberapa kumpulan bantuan asing mengumumkan mereka menghentikan operasi masing-masing di Afghanistan bermula semalam selepas pemerintah Taliban negara itu mengarahkan semua kakitangan wanita diberhentikan kerja.
Pengumuman itu menimbulkan rasa tidak senang pegawai antarabangsa dan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta dikhuatiri akan mengakibatkan bantuan kemanusiaan terjejas teruk.
"Kami tidak dapat mencapai kanak-kanak, wanita dan lelaki yang sangat diperlukan di Afghanistan dengan berkesan tanpa kakitangan wanita kami," kata Save the Children, Majlis Pelarian Norway dan CARE dalam satu kenyataan bersama.
Menurut kenyataan itu lagi, sementara pihaknya mendapat penjelasan lanjut mengenai pengumuman itu, mereka memutuskan untuk menangguhkan program, selain menuntut lelaki dan wanita berganding bahu meneruskan bantuan menyelamatkan nyawa di Afghanistan.
Sementara itu, Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC), yang menyediakan tindak balas kecemasan dalam bidang kesihatan, pendidikan dan lain-lain serta menggaji 3,000 wanita di seluruh Afghanistan, turut menyatakan pihaknya menangguhkan perkhidmatan.
"Bagi IRC, keupayaan kami untuk menyampaikan perkhidmatan bergantung kepada kakitangan wanita pada semua peringkat pertubuhan kami.
"Jika kami tidak dibenarkan menggaji wanita, kami tidak dapat menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan," kata kumpulan yang berpangkalan di New York itu dalam satu kenyataan.
Larangan itu adalah tamparan terbaru terhadap hak wanita di Afghanistan sejak Taliban merampas semula kuasa tahun lalu.
Dalam tindakan keras terbaru semalam, Taliban mengarahkan NGO tempatan dan asing menggantung perkhidmatan pekerja wanita, sekali gus mengekang lagi kebebasan golongan itu.
Dalam satu surat disahkan jurucakap Kementerian Ekonomi, Abdulrahman Habib, pekerja wanita tidak dibenarkan bekerja sehingga diberitahu kelak, disebabkan ada yang tidak mematuhi tafsiran pentadbiran mengenai kod pakaian Islam untuk wanita.
Arahan itu dikeluarkan beberapa hari selepas pentadbiran yang dikendalikan Taliban mengarahkan universiti menolak pelajar wanita, sekali gus mengundang kecaman global yang kuat dan mencetuskan beberapa protes serta kritikan hebat di Afghanistan.
Timbalan wakil khas ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Afghanistan, Ramiz Alakbarov, yang juga penyelaras kemanusiaan, berkata beliau sangat bimbang dengan arahan surat itu, yang dilihat sebagai pelanggaran jelas prinsip kemanusiaan.
Agensi Charge D'Affaires for Norway, yang membiayai bantuan di Afghanistan dan terbabit dalam rundingan antara Taliban dan anggota masyarakat sivil pada Januari lalu, turut mengecam tindakan itu.
"Larangan ke atas pekerja wanita dalam NGO mesti dibatalkan serta-merta.
"Selain menjadi tamparan kepada hak wanita, langkah ini akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan meletakkan rakyat Afghanistan di tahap paling terdedah," kata Paul Klouman Bekken di Twitter.
Bagaimanapun, setakat ini masih tidak jelas bagaimana perintah itu akan menjejaskan agensi PBB, yang mempunyai bilangan kakitangan yang besar di Afghanistan untuk menyampaikan perkhidmatan di tengah-tengah krisis kemanusiaan di negara itu.
Ketika ditanya sama ada agensi PBB termasuk dalam peraturan itu, Habib berkata surat itu digunakan untuk pertubuhan di bawah badan penyelaras Afghanistan bagi agensi kemanusiaan yang dikenali sebagai ACBAR.
Badan itu tidak termasuk PBB tetapi ia membabitkan lebih 180 NGO tempatan dan antarabangsa.
PBB sering bekerjasama dengan NGO yang berdaftar di Afghanistan untuk menjalankan kerja kemanusiaan.
Kakitangan bantuan berkata, pekerja wanita penting bagi memastikan wanita boleh mendapatkan bantuan.
Ekonomi Afghanistan yang sememangnya bergelut dengan krisis sejak Taliban mengambil alih pada 2021, kini berdepan dengan sekatan dan pemotongan bantuan pembangunan daripada masyarakat antarabangsa.
Menurut Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa, bantuan kemanusiaan untuk memenuhi keperluan mendesak sudah menyediakan talian hayat kepada jutaan orang, dengan lebih separuh penduduk Afghanistan bergantung kepada bantuan kemanusiaan. - AGENSI