SEOUL: Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah perairan timurnya semalam, walaupun sedang berdepan sekatan antarabangsa.
Ia adalah ujian senjata terbaru negara itu yang berlaku dalam tempoh beberapa hari selepas pesawat perang Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan melakukan latihan bersama yang dilihat Korea Utara sebagai latihan pencerobohan.
Korea Utara sudah melakukan ujian peluru berpandu yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada tahun ini dan beberapa pakar mendakwa ia sebagai percubaan untuk meningkatkan keupayaan senjatanya.
Baru-baru ini, Korea Utara mendakwa sudah melakukan ujian besar diperlukan untuk memperoleh satelit pengintip pertamanya dan peluru berpandu balistik antara benua lebih mudah alih yang mampu sampai ke tanah besar AS.
Tentera Korea Selatan mengesan dua pelancaran peluru berpandu dari wilayah ibu kota Korea Utara, jam 4.32 petang semalam.
Jepun turut mengesahkan sekurang-kurangnya satu pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara.
Bagaimanapun, tidak jelas dengan tepat jenis peluru berpandu yang dilancarkan oleh tentera Korea Utara.
Tentera Korea Selatan berkata, peluru berpandu itu bergerak masing-masing sejauh kira-kira 250 kilometer (km) dan 350 km sebelum mendarat di perairan antara Semenanjung Korea dan Jepun.
Sementara itu, Naib Menteri Pertahanan Jepun, Toshiro Ino, berkata satu peluru berpandu yang dikesan oleh Jepun terbang sejauh 300 km pada ketinggian maksimum 50 km.
"Peluru berpandu itu mungkin menunjukkan trajektori 'tidak teratur' merujuk kepada peluru berpandu KN-23 Korea Utara yang sangat mudah dikendalikan dan berkeupayaan nuklear," katanya. - Reuters