Jumaat, 23 Disember 2022 | 11:29am
Orang ramai mengenakan pelitup muka ketika membeli barangan di pasar raya di Macau. - Foto AFP
Orang ramai mengenakan pelitup muka ketika membeli barangan di pasar raya di Macau. - Foto AFP

Pihak berkuasa China ambil alih pengeluaran ubat ketika lonjakan COVID-19

BEIJING: China mengambil alih pengeluaran bekalan perubatan di seluruh negara susulan jutaan rakyatnya sukar mendapatkan ubat asas dan kit ujian dalam menghadapi lonjakan kes COVID-19.

Farmasi di bandar-bandar utama berdepan kekurangan ubat-ubatan berikutan keputusan mendadak kerajaan China menarik balik perintah berkurung, kuarantin dan ujian besar-besaran.

Pihak berkuasa juga menggesa mereka yang mengalami gejala ringan untuk tinggal di rumah dan melaksanakan ujian kendiri termasuklah penggunaan ibuprofen dan ujian antigen pantas.

Bagi menangani kekurangan itu di seluruh negara, puluhan firma farmaseutikal China diarahkan oleh pegawai kerajaan untuk membantu menyelamatkan bekalan ubat-ubatan utama.

Sekurang-kurangnya bekalan ubat-ubatan oleh 11 daripada 42 pembuat kit ujian yang produknya dilesenkan oleh pengawal selia perubatan China sudah diambil oleh kerajaan atau menerima tempahan.

Wiz Biotech, pembuat ujian antigen pantas di Xiamen, mengesahkan kepada AFP bahawa semua kit yang mereka hasilkan diminta kerajaan tempatan.

Di Beijing, pihak berkuasa sudah menghantar kakitangan tambahan kepada enam pengeluar kit antigen untuk membantu mereka 'meningkatkan pengeluaran'.

Sementara itu, seorang paramedik di Hospital Universiti Perubatan Chongqin mengesahkan 80 hingga 90 peratus daripada pesakit yang diterima setiap hari dijangkiti COVID-19.

"Kebanyakan pesakit adalah warga emas. Ramai kakitangan hospital juga positif, tetapi kami tidak mempunyai pilihan selain terus bekerja," katanya. - AFP

Berita Harian X