BEIJING: Angka kematian terbaru akibat COVID-19 di ibu negara China menunjukkan peningkatan susulan ramai rakyatnya demam dan upacara pengebumian meningkat selepas negara itu melonggarkan sekatan.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan berkata lima kematian baru direkodkan, semuanya di Beijing, sekali gus meningkatkan jumlah kematian kepada 5,242 mangsa, yang agak rendah berdasarkan piawaian global tetapi berpotensi meningkat selepas dasar 'Sifar COVID-19' dilonggarkan.
China cuba memujuk warga emas yang masih degil menolak dan orang lain yang berisiko untuk mendapatkan vaksin, namun ia tidak begitu berjaya
Kebimbangan utama lain ialah keupayaan menambah sumber kesihatan di bandar-bandar kecil dan kawasan pedalaman luar bandar yang luas menjelang Tahun Baru China yang akan menyaksikan pekerja di perantauan pulang ke kampung halaman mereka.
Bilangan klinik diperluaskan di kawasan bandar dan luar bandar serta orang ramai diminta untuk tinggal di rumah kecuali jika sakit tenat, berikutan hospital kekurangan kakitangan.
Pihak berkuasa kesihatan China hanya mengira mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19, tidak termasuk kematian berpunca daripada coronavirus seperti diabetes dan penyakit jantung, yang meningkatkan risiko penyakit serius.
Di negara lain, garis panduan menetapkan bahawa sebarang kematian yang disebabkan oleh coronavirus adalah faktor atau penyumbang dikira sebagai berkaitan dengan COVID-19.
Sebelum ini, China kekal dengan pendekatan 'Sifar-COVID', namun dasar penutupan, sekatan perjalanan, ujian mandatori dan kuarantin meletakkan masyarakat China dan ekonomi negara di bawah tekanan, sekali gus memaksa Parti Komunis yang memerintah untuk mematuhi nasihat luar dan mengubah strateginya. - AP