Isnin, 19 Disember 2022 | 9:18am
Orang ramai menunggu giliran untuk mengambil ubat di stadium yang dijadikan klinik kesihatan sementara di Beijing akibat pandemik COVID-19. - Foto AFP
Orang ramai menunggu giliran untuk mengambil ubat di stadium yang dijadikan klinik kesihatan sementara di Beijing akibat pandemik COVID-19. - Foto AFP

China berdepan tiga gelombang COVID-19 semasa musim sejuk

BEIJING: China sedang mengalami gelombang pertama daripada tiga gelombang pandemik COVID-19 yang dijangka melanda negara itu bermula musim sejuk sekarang sehingga pertengahan Mac tahun depan.

Ketua Pakar Epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CCDC), Wu Zunyou memberi amaran bahawa negara itu sedang berdepan dengan lonjakan kes COVID-19 sejak ia menggugurkan sebahagian besar sekatan bermula awal bulan ini.

Pemerintah China melaporkan hanya sekitar 2,100 kes jangkitan baharu COVID-19 semalam.

Namun terdapat keprihatinan jumlah kes harian yang rendah itu disebabkan oleh ujian COVID-19 yang berkurangan baru-baru ini.

Zunyou berpendapat, lonjakan kes akan berlarutan bermula pertengahan bulan ini sehingga Mac tahun depan.

"Gelombang kedua akan disebabkan oleh perjalanan rentas wilayah secara beramai-ramai pada pertengahan Januari ini apabila rakyat negara itu pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Tahun Baru Cina.

"Gelombang ketiga pula akan bermula pada lewat Februari, apabila mereka kembali semula ke tempat kerja selepas berakhirnya musim perayaan berkenaan," katanya.

Sambutan Tahun Baharu China bermula 21 Januari ini yang akan menyaksikan ratusan juta penduduk negara itu merayakan secara besar-besaran.

Unjuran tersebut dikeluarkan menyusuli laporan sebuah institut penyelidikan di Amerika Syarikat pada awal minggu ini yang menyatakan, sehingga sejuta rakyat China mungkin kehilangan nyawa akibat jangkitan COVID-19 pada tahun depan. - AGENSI

Berita Harian X