Rabu, 14 Disember 2022 | 10:00pm
Pejuang Taliban duduk di atas trak ketika rondaan di ibu negara Afghanistan, Kabul. - Foto AFP
Pejuang Taliban duduk di atas trak ketika rondaan di ibu negara Afghanistan, Kabul. - Foto AFP

Taliban laksana hukuman sebat 20 pesalah di khalayak ramai

ISLAMABAD: Seramai 20 pesalah di Afghanistan dihukum sebat di khalayak ramai kerana melakukan kesalahan berzina, mencuri dan jenayah lain.

Jurucakap Taliban bagi pejabat gabenor di selatan wilayah Helmand, Mohammad Qasim Riyaz, berkata hukuman itu dilaksanakan di perkarangan stadium di Lashkar Gah di ibu negeri Helmand.

Beliau berkata, setiap pesalah disebat antara 35 hingga 39 sebatan dan hukuman itu dijalankan di hadapan pegawai daerah Taliban, golongan ulama, warga emas dan penduduk setempat.

Katanya, segelintir mereka yang disebat turut dikenakan hukuman penjara berdasarkan jenayah yang mereka lakukan.

Hukuman sebatan itu dilaksanakan seminggu selepas pihak berkuasa Taliban melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah kerana membunuh, hukuman mati di khalayak ramai yang pertama sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun lalu.

Menurut jurucakap kanan Taliban, Zabihullah Mujahid, hukuman tembak mati itu dilaksanakan oleh bapa mangsa sendiri di hadapan ratusan orang awam dengan kebanyakannya terdiri daripada pegawai Taliban, di wilayah Farah.

Hukuman itu menerima kritikan antarabangsa dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyifatkan hukuman terbabit perlu diselaraskan dengan hak untuk hidup.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Ned Price, berkata kerajaannya mengutuk hukuman mati di khalayak ramai.

Price berkata, hubungan antarabangsa antara Taliban dengan Washington pada masa depan bergantung kepada tindakan mereka berkaitan dengan hak asasi manusia.

Setakat ini, tiada mana-mana negara mengiktiraf kerajaan Taliban selepas mereka mengambil alih pemerintahan susulan pengunduran tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tahun lalu. - AP

Berita Harian X