Ahad, 11 Disember 2022 | 1:55pm
Ketua Dasar Parti Liberal Demokratik (LDP) Koichi Hagiuda, ketika berucap pada forum di Taipei, Taiwan. - Foto REUTERS
Ketua Dasar Parti Liberal Demokratik (LDP) Koichi Hagiuda, ketika berucap pada forum di Taipei, Taiwan. - Foto REUTERS

Jepun, Taiwan tambah peruntukan tentera tangani ancaman

TAIPEI: Jepun dan Taiwan perlu meningkatkan perbelanjaan ketenteraannya bagi menghadapi 'hakikat suram' ekoran ancaman dari China dan Korea Utara, kata Ketua Dasar Parti Liberal Demokratik (LDP) Koichi Hagiuda, ketika lawatan ke Taiwan, hari ini.

Biarpun Taiwan dan Jepun ditadbir secara demokrasi serta tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi, mereka mempunyai hubungan tidak rasmi yang rapat.

Kedua-duanya berkongsi kebimbangan terhadap China, terutama peningkatan aktiviti ketenteraan berhampiran kedua-dua negara itu, selain ancaman ujian peluru berpandu oleh Korea Utara.

Koichi, yang juga bekas Menteri Industri, ketika lawatan ke Taipei, berkata Jepun 'memilih jalan damai' sejak Perang Dunia Kedua dan ia tidak akan berubah pada masa hadapan.

"Namun, dengan hanya menyebut perkataan keamanan pastinya tidak memadai untuk melindungi keamanan yang dikecapi," katanya pada forum mengenai hubungan Jepun-Taiwan.

Semasa Jepun menyediakan Bajet 2023, Perdana Menteri, Fumio Kishida, mengumumkan rancangan menaikkan perbelanjaan pertahanan kepada jumlah bersamaan dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh lima tahun, berbanding hanya satu peratus ketika ini.

Ia akan menjadikan perbelanjaan pertahanan tahunan Jepun meningkat lebih 11 trilion yen (RM3.55 trilion) berbanding 5.4 trilion yen ketika ini, menjadikannya ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dan China, pada tahap semasa mereka.

Koichi merujuk kepada peningkatan besar-besaran China dalam perbelanjaan ketenteraan dan ujian peluru berpandu Korea Utara, sebagai alasan supaya Jepun menaikkan perbelanjaan pertahanannya.

Katanya, tindakan separa tidak bermakna sama sekali Jepun perlu menghadapi hakikat semasa yang sebegitu suram.

"Keupayaan pertahanan Jepun penting bagi melindungi nyawa dan keamanan serta perlu dibangunkan segera, bukan dalam tempoh lima tahun.

"Penting untuk menunjukkan dengan jelas bahawa kami mempunyai kapasiti mencukupi untuk membuat mana-mana penceroboh berfikir dua kali," katanya.

China membuat latihan ketenteraan berhampiran Taiwan Ogos lalu, bagi meluahkan kemarahan terhadap lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi, ke Taipei ketika itu, termasuk melancarkan lima peluru berpandu ke laut berhampiran Okinawa, dalam zon ekonomi eksklusif Jepun. - REUTERS

Berita Harian X