Ahad, 11 Disember 2022 | 9:27am
Pejuang Taliban menaiki kenderaan ketika melakukan rondaan di Kabul, Afghanistan. - Foto AFP
Pejuang Taliban menaiki kenderaan ketika melakukan rondaan di Kabul, Afghanistan. - Foto AFP

Taliban sebat 27 pesalah termasuk wanita di khalayak ramai

KABUL: Seramai 27 orang termasuk wanita disebat di khalayak ramai kelmarin, sehari selepas hukuman mati awam pertama dilaksanakan oleh Taliban sejak kumpulan itu kembali berkuasa di Afghanistan.

Menurut Ketua Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, hukuman sebatan itu dilaksanakan mengikut undang-undang Afghanistan, malah beliau menganggap kritikan global yang dilemparkan berhubung hukuman berkenaan sebagai penghinaan terhadap Islam.

Penjenayah terbabit termasuk sembilan wanita, dijatuhkan hukuman sebat di khalayak awam oleh Mahkamah Agung di Afghanistan dan pelaksanaannya dilakukan di Charikar, ibu kota wilayah Parwan yang terletak kira-kira 50 kilometer (km) dari Kabul.

Beliau berkata, antara jenayah yang dilakukan mereka termasuk liwat, menipu, saksi palsu, pemalsuan, menjual dan membeli tablet K (dadah), penyelewengan, melarikan diri dari rumah, rompakan lebuh raya serta hubungan terlarang.

"Setiap penjenayah itu mengaku jenayah mereka di hadapan mahkamah tanpa sebarang kekerasan dan (mereka) berpuas hati dengan hukuman yang diterima," katanya.

Seorang saksi memberitahu AFP bahawa lebih 1,000 orang menyaksikan pelaksanaan hukuman sebatan itu, yang dilakukan di sebuah stadium di bandar itu.

"Orang ramai melaungkan Allahuakbar dan kami mahu hukum Allah dilaksanakan di bumi kami'," katanya.

Mereka disebat antara 20 hingga 39 kali dan dilihat kesakitan apabila menerima sebatan daripada rotan sepanjang sekitar satu meter dan selebar empat jari, dengan hukuman dilakukan oleh sepasukan anggota Taliban secara bergilir-gilir.

Terdahulu, Taliban melaksanakan hukuman bunuh di khalayak umum terhadap seorang lelaki buat kali pertama sejak ia kembali berkuasa di negara itu pada tahun lalu.

Pemimpin Tertinggi Taliban, Hibatullah Akhundzada, pada bulan lalu meminta institusi di Afghanistan menetapkan hukuman mengikut Undang-undang Syariah dan pelaksanaan itu menandakan Afghanistan kembali kepada bentuk hukuman lama ketika kumpulan tersebut berkuasa sebelum ini. - AGENSI

Berita Harian X