TAIPEI: Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen hari ini berjanji untuk memperkukuhkan kerjasama keselamatan dengan Jepun bagi memastikan kebebasan di Indo-Pasifik, pada pertemuannya bersama anggota kanan Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun.
Walaupun Jepun dan Taiwan yang dituntut dan ditadbir secara demokrasi oleh China tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi, kedua negara itu mempunyai hubungan tidak rasmi yang rapat dengan kedua-duanya berkongsi kebimbangan mengenai China, terutama peningkatan aktiviti ketenteraan berhampiran mereka.
Dalam pertemuan di Pejabat Presiden di Taipei, Tsai menyatakan ucapan terima kasihnya kepada Ketua Dasar LDP, Koichi Hagiuda atas sokongan Jepun terutama dalam isu seperti menjaga keselamatan di Selat Taiwan yang sensitif.
"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami menyaksikan hubungan Taiwan-Jepun semakin rapat.
"Pada masa hadapan, Taiwan akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan Jepun dalam pelbagai bidang seperti keselamatan dan akan terus bekerjasama bagi memastikan kebebasan, keterbukaan dan kestabilan rantau Indo-Pasifik," katanya.
Hagiuda berkata, Taiwan adalah rakan baik yang mempunyai nilai bersama.
"Taiwan adalah rakan kongsi sangat penting dan rakan Jepun yang dihargai, kerana dengannya Jepun berkongsi nilai asas seperti demokrasi liberal, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang serta hubungan ekonomi yang rapat dan pertukaran peribadi.
"Dalam konteks ini, bantuan dan kerjasama kami antara satu sama lain sudah terbina dari semasa ke semasa," katanya.
Hagiuda berada di Taipei untuk menghadiri forum dijadualkan esok yang berkaitan hubungan Taiwan-Jepun dan sudah memaklumkan kepada Tsai, yang beliau akan memberi penghormatan di tempat persemadian bekas Presiden, Lee Teng-hui.
Teng-hui yang berpendidikan Jepun meninggal dunia dua tahun lalu, digelar 'Mr Demokrasi' untuk menguburkan pemerintahan autokratik yang memihak kepada pluralisme bebas di Taiwan.
Kebimbangan Jepun semakin meningkat berkenaan pertikaian China terhadap Taiwan ketika Beijing berusaha untuk menegaskan tuntutan kedaulatannya ke atas pulau itu.
China mengadakan latihan ketenteraan berhampiran Taiwan pada Ogos lalu untuk menyatakan kemarahan susulan lawatan Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke Taipei ketika itu termasuk melancarkan lima peluru berpandu ke laut berhampiran Okinawa, dalam zon ekonomi eksklusif Jepun. - REUTERS