Sabtu, 10 Disember 2022 | 3:50pm
Jimmy Lai meninggalkan Mahkamah Hong Kong selepas rayuan akhir pada 9 Februari 2021. - Foto fail AP
Jimmy Lai meninggalkan Mahkamah Hong Kong selepas rayuan akhir pada 9 Februari 2021. - Foto fail AP

Taikun media Hong Kong, Jimmy Lai dipenjara atas tuduhan menipu

HONG KONG: Taikun media Hong Kong prodemokrasi, Jimmy Lai, hari ini dijatuhi hukuman penjara lima tahun sembilan bulan selepas disabitkan kesalahan menipu kerana melanggar kontrak pajakan untuk ibu pejabat sebuah akhbar liberal yang pernah dikendalikannya.

Lai, 75, didapati bersalah atas dua pertuduhan penipuan kerana menutup operasi sebuah syarikat swasta, Dico Consultants Ltd, di ibu pejabat akhbar Apple Daily yang kini ditutup, dalam apa yang diputuskan melanggar pajakan tanahnya.

Lai yang juga pengkritik China paling terkenal di Hong Kong sebelum ini sudah dipenjarakan sejak Disember 2020 dan memimpin selama 20 bulan untuk perhimpunan yang tidak dibenarkan.

Beliau adalah ketua Next Digital, syarikat induk Apple Daily yang ditutup pada Jun 2021 selepas serbuan polis.

Selain Lai, seorang lagi eksekutif Next Digital, Wong Wai-keung, 61, didapati bersalah melakukan penipuan dan dipenjarakan selama 21 bulan.

Hakim Mahkamah Daerah Stanley Chan, menulis dalam penghakimannya, mengatakan Lai 'bertindak di bawah payung perlindungan organisasi media'.

Beliau berkata, pendakwaan terhadap seorang hartawan media ini 'tidak bersamaan dengan serangan terhadap kebebasan akhbar'.

Hakim mengurangkan tempoh tiga bulan daripada hukumannya kerana Lai mengakui banyak kes yang didakwa ke atasnya.

Dalam perkembangan sama, kerajaan Barat termasuk Amerika Syarikat menyatakan kebimbangan mengenai nasib Lai dan mengutuk apa dipanggil kemerosotan yang lebih meluas dalam perlindungan hak asasi manusia dan kebebasan asasi di bawah Undang-undang Keselamatan Negara yang dikenakan China.

"Kes jenayah Beijing yang terperinci terhadap Jimmy Lai adalah balas dendam terhadap penyokong utama demokrasi dan kebebasan media di Hong Kong," kata Pengarah Asia Kumpulan advokasi Pemerhati Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di New York, Maya Wang, menggesa supaya Lai dibebaskan.

Pendakwa raya berkata, di bawah syarat pajakan akhbar itu di atas sebidang tanah kerajaan di taman sains, harta itu hanya boleh digunakan untuk 'penerbitan dan percetakan' tanpa kelulusan terlebih dahulu daripada pengendali.

Chan mengeluarkan perintah menghalang Lai daripada menjadi pengarah mana-mana syarikat selama lapan tahun dan didenda HK$2 juta (AS$260,000 atau RM1.144 juta).

Peguam Lai, Derek Chan, menggesa hakim untuk mempertimbangkan umur dan sumbangan Lai kepada industri media Hong Kong.

Perbicaraan keselamatan negara yang berasingan membabitkan Lai dijadualkan disambung semula pada Selasa. Ia ditangguhkan sementara Beijing memutuskan isu kontroversi sama ada peguam asing, termasuk peguam Lai dari Britain, Timothy Owen, boleh dibenarkan untuk mengendalikan kes keselamatan negara. - REUTERS

Berita Harian X