SHANGHAI: Pihak berkuasa China memantau dan mengawal peningkatan harga bekalan perubatan dan ubat-ubatan, selain berusaha memastikan bekalan lancar ketika kebimbangan semakin meningkat terhadap COVID-19 susulan penghapusan sekatan ketat di seluruh negara.
Rabu lalu, China mengumumkan 10 langkah melonggarkan beberapa bahagian penting dasar sifar COVID-19 yang ditandatangani Presiden Xi Jinping, yang dilihat langkah dramatik ke arah pembukaan semula ekonomi.
Bagaimanapun kebimbangan semakin meningkat terhadap lonjakan jangkitan COVID-19 apabila orang ramai berebut mendapatkan bekalan ubat batuk, ubat selesema dan pelitup muka.
Kumpulan kerja di bawah Dewan Negara, Kabinet China, lewat Jumaat lalu mengeluarkan notis menggesa kerajaan tempatan memastikan pengangkutan dan logistik bergerak lancar bagi mengekalkan kehidupan normal dan peraturan kerja.
"Tiada usaha perlu dilakukan untuk memastikan penghantaran bekalan perubatan berjalan lancar termasuk vaksinasi, ujian antigen, ubat-ubatan dan pelitup muka," kata notis itu, yang diterbitkan oleh Kementerian Pengangkutan China.
Notis itu juga melarang sekatan atau penutupan lebuh raya, laluan air, pelabuhan, stesen kereta api dan lapangan terbang tanpa kebenaran, untuk mematuhi kelonggaran sekatan negara terbabit.
Sementara itu, Pentadbiran Negeri China untuk Peraturan Pasaran mengingatkan pihak berkaitan supaya tidak menaikkan harga produk anti-COVID, dengan menyatakan keperluan melindungi nyawa dan kesihatan manusia dengan lebih baik.
Dalam notis amaran yang disiarkan pada Jumaat, badan pemerhati itu turut melarang aktiviti termasuk inflasi harga, pakatan sulit, diskriminasi harga, propaganda mengelirukan dan tindakan menyembunyikan produk.
Peniaga tidak boleh 'menaikkan harga secara drastik apabila tiada kenaikan kos yang jelas atau kenaikan kos jauh daripada kenaikan harga, kata badan kawal selia itu memberi amaran.
Sebagai tambahan, mereka tidak boleh menyimpan bekalan antipandemik hingga mengalami kekurangan bekalan atau menyebarkan berita mengenai kenaikan harga untuk mengganggu tempahan pasaran, kata badan pemerhati itu. - REUTERS