Sabtu, 10 Disember 2022 | 8:20am
Penunjuk perasaan warga Palestinmembawa bendera negara bertembung dengan tentera Israel ketika protes menentang pengambilan tanah mereka di kampung Kfar Qaddum, Tebing Barat. - Foto AFP
Penunjuk perasaan warga Palestinmembawa bendera negara bertembung dengan tentera Israel ketika protes menentang pengambilan tanah mereka di kampung Kfar Qaddum, Tebing Barat. - Foto AFP

AS desak PBB jangan kemas kini senarai hitam syarikat haram Israel

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) hari ini mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya tidak mengemas kini senarai hitam syarikat yang menjalankan perniagaan secara haram di penempatan Israel.

Pada masa sama, Washington mendakwa ia turut menggesa sekutunya, Israel, supaya menghentikan pengembangan penempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki.

Jabatan Negara AS mengesahkan sudah menghubungi pejabat hak asasi manusia PBB berhubung senarai itu, yang mana penerbitan pertamanya pada 2020 menimbulkan kemarahan Israel.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Vedant Patel, memberitahu pemberita, negara itu terus menentang usaha bagi mengemas kini senarai syarikat yang beroperasi secara haram di Palestin.

Katanya, tindakan itu menimbulkan kebimbangan berhubung perkara itu 'secara langsung dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi', berkaitan soal hak.

"Pada pandangan kami, pangkalan data ini hanya berfungsi mengukuhkan sikap berat sebelah anti-Israel yang terlalu kerap ditimbulkan PBB.

"Selain itu, pangkalan data ini turut menimbulkan ancaman sebenar kepada syarikat yang menjalankan perniagaan atau mempertimbangkan operasi perniagaan di rantau ini," katanya.

Penerbitan awal yang menyenaraikan syarikat AS termasuk Airbnb, Expedia dan TripAdvisor, dikecam oleh pentadbiran Donald Trump ketika itu, yang sebelum ini membantah pendudukan Israel di Tebing Barat.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, dalam satu ucapan, memberi amaran kepada blok sayap kanan Benjamin Netanyahu yang bakal memerintah nanti bahawa AS akan menentang perluasan penempatan serta sebarang usaha menggabungkan Tebing Barat.

Laman sesawang Axios yang memetik sumber Israel, berkata Ketua Hak Asasi Manusia PBB yang baharu, Volker Turk, berdepan pilihan sama ada untuk mengemas kini senarai itu dan mungkin melakukannya secara senyap-senyap.

Selepas penerbitan senarai itu, Airbnb berkata ia akan menghentikan pengiklanan di penempatan berkenaan, namun kemudian mengambil keputusan untuk berundur selepas maklum balas AS dan Israel. - AFP

Berita Harian X