Khamis, 8 Disember 2022 | 3:16pm
Serbuan terbaru tentera Israel di Tebing Barat menyasarkan bandar Jenin dan kem pelariannya di utara Tebing Barat. - Foto AGENSI
Serbuan terbaru tentera Israel di Tebing Barat menyasarkan bandar Jenin dan kem pelariannya di utara Tebing Barat. - Foto AGENSI

Tentera Israel bunuh 3 rakyat Palestin dalam serbuan di Tebing Barat

RAMALLAH: Tentera Israel membunuh tiga rakyat Palestin ketika serbuan awal pagi tadi di sini, kata Kementerian Kesihatan.

Serbuan tentera Israel itu menyasarkan bandar Jenin dan kem pelariannya di utara Tebing Barat.

Kawasan berkenaan adalah kubu kuat pejuang Palestin dan susulan daripada itu, Israel telah meningkatkan serbuan di sana sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Agensi berita rasmi Palestin melaporkan 'konfrontasi dan pertempuran ganas' meletus antara penduduk Jenin dan tentera Israel.

Dalam pada itu, foto lama menunjukkan dua daripada tiga rakyat Palestin yang terbunuh bergambar bersama senapang turut tular di media sosial.

Media Palestin turut berkongsi rakaman yang menunjukkan sebuah ambulans terkena tembakan Israel di Jenin.

Beberapa puak di bandar itu menggesa mogok dilancarkan bagi menunjukkan solidariti terutama kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Semalam, tentera Israel menembak mati seorang pejuang Palestin yang melepaskan tembakan ke arah mereka berhampiran penempatan Ofra di Tebing Barat.

Lebih 140 rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran Israel-Palestin di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis tahun ini, menjadikannya tahun yang merekodkan kematian tertinggi sejak 2006.

Tentera Israel mendakwa kebanyakan rakyat Palestin yang terbunuh adalah ahli kumpulan militan.

Bagaimanapun, kumpulan pemuda yang membaling batu bagi membantah pencerobohan tentera Israel dan individu lain yang tidak terbabit dalam konfrontasi turut terbunuh.

Israel telah melakukan serbuan dan tangkapan setiap hari di seluruh Tebing Barat, dalam operasi yang didorong serangan bertubi-tubi Palestin terhadap Israel pada musim bunga yang mengorbankan 19 orang.

Tentera Israel berkata, serbuan itu bertujuan memusnahkan rangkaian militan dan menggagalkan serangan masa depan.

Bagaimanapun, rakyat Palestin berkata, mereka mengukuhkan pendudukan terbuka Israel yang kini sudah memasuki tahun ke-56.

Menurut statistik Israel, sekurang-kurangnya 31 orang maut dalam serangan Arab di Israel dan Tebing Barat yang diduduki tahun ini. - AP

Berita Harian X