Khamis, 8 Disember 2022 | 10:14am
Dua jet pejuang F-5 buatan Amerika Syarikat (AS) menjalani latihan di Pangkalan Udara Chihhang di Taitung, Taiwan. - Foto REUTERS
Dua jet pejuang F-5 buatan Amerika Syarikat (AS) menjalani latihan di Pangkalan Udara Chihhang di Taitung, Taiwan. - Foto REUTERS

AS sedia peruntukan ketenteraan AS$10 bilion untuk Taiwan

WASHINGTON: Kongres Amerika Syarikat (AS) akan mula mengundi seawal Rabu ini berhubung rang undang-undang (RUU) dasar ketenteraan besar-besaran, termasuk peruntukan sehingga AS$10 bilion (RM44 bilion) bagi Taiwan.

Ia merangkumi bantuan keselamatan dan perolehan senjata pengesan pantas untuk Taiwan, ketika China mengenakan tekanan terhadap pulau yang ditadbir secara demokrasi itu.

Versi pindaan Akta Kebenaran Pertahanan Nasional NDAA) tahunan itu tidak termasuk beberapa peruntukan kontroversi yang disyorkan penggubal undang-undang Taiwan awal tahun ini.

Antara lain, ia termasuk termasuk sekatan terhadap China jika berlaku 'peningkatan ketara dalam pencerobohan' terhadap Taiwan dan cadangan supaya Taiwan dianggap sebagai 'sekutu utama bukan negara ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO)'.

China menganggap Taiwan sebagai wilayahnya dan tidak pernah melepaskan tuntutan terhadapnya dalam bersedia menggunakan kekerasan untuk membawa pulau itu ke dalam kawalannya jika perlu.

Beijing menyuarakan kemarahan selepas Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat meluluskan undang-undang Taiwan yang lebih luas pada September lalu, walaupun terdapat kebimbangan dalam pentadbiran Presiden Joe Biden, yang RUU itu berisiko meningkatkan ketegangan dengan China.

Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat dan Dewan melancarkan NDAA lewat Selasa lalu. RUU ketenteraan bernilai AS$858 bilion (RM3.78 trilion) itu dijangka diluluskan Kongres dan ditandatangani sebagai undang-undang bulan ini.

'Akta Ketahanan Dipertingkat Taiwan' yang termasuk dalam NDAA membenarkan peruntukan sehingga AS$2 bilion (RM8.8 bilion) setahun bagi bantuan geran ketenteraan untuk Taiwan dari 2023 hingga 2027, jika Setiausaha Negara AS memperakui Taiwan meningkatkan perbelanjaan pertahanannya.

Ia turut termasuk penubuhan pihak berkuasa jaminan pinjaman pembiayaan tentera asing yang baharu dan langkah lain bagi mempercepat perolehan senjata Taiwan, selain mewujudkan program latihan baharu bagi meningkatkan pertahanan Taiwan.

"Demokrasi Taiwan kekal sebagai denyut nadi kepada strategi Indo-Pasifik kami dan kesungguhan serta komitmen kami kepada rakyat Taiwan adalah lebih kuat berbanding sebelumnya," kata Senator Demokrat, Bob Menendez, yang juga pengerusi jawatankuasa hubungan luar dan penaja perundangan Taiwan.

Diluluskan setiap tahun sejak 1961, NDAA mengendalikan semua perkara, daripada kenaikan gaji askar sehingga bilangan pesawat yang boleh dibeli untuk strategi menangani ancaman geopolitik.

Versi pindaan NDAA menyusul beberapa bulan selepas rundingan antara Republikan dan Demokrat di Senat dan Dewan Perwakilan. - REUTERS

Berita Harian X