Khamis, 8 Disember 2022 | 9:07am
Gambar hiasan. - Foto AP
Gambar hiasan. - Foto AP

Hukuman mati di khalayak ramai, sejarah hitam Taliban kembali

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengutuk pelaksanaan hukuman mati di khalayak ramai terbuka yang 'keji' oleh Taliban di Afghanistan, yang mula kembali kepada hukuman tegar di bawah undang-undang syariah.

AS mendakwa perkembangan itu membuktikan regim Taliban sekarang mula kembali kepada sejarah hitam kumpulan itu, ketika wakil kerajaan Afghanistan menekankan mengenai hak asasi dalam satu pertemuan dengan AS.

Ia susulan pengakuan Taliban mengenai seorang lelaki Afghanistan yang disabitkan kesalahan membunuh dihukum mati di khalayak ramai semalam, pengesahan pertama mengenai hukuman seumpamanya sejak kumpulan itu kembali berkuasa.

Bulan lalu, pemimpin tertinggi Taliban, Hibatullah Akhundzada, mengarahkan hakim supaya menguatkuasakan sepenuhnya aspek undang-undang Islam, termasuk hukuman mati di khalayak ramai, rejam dan sebatan serta pemotongan anggota badan pencuri.

Sejak itu, mereka melaksanakan beberapa hukuman sebatan secara terbuka, namun hukuman mati di Farah semalam, adalah yang pertama diakui Taliban.

"Mahkamah agung diarah melaksanakan perintah qisas ini dalam perhimpunan awam rakyat senegara," kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid dalam satu kenyataan, merujuk kepada keadilan 'penderitaan dibalas dengan penderitaan yang sama' dalam undang-undang Islam.

Dalam ciapannya selepas itu, Mujahid berkata bapa mangsa menjalankan hukuman berkenaan, dengan menembak tertuduh lelaki sebanyak tiga kali dengan senjata Kalashnikov.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyuarakan 'kebimbangan mendalam' mengenai pelaksanaan hukuman mati itu, kata jurucakapnya, Stephanie Tremblay.

"Pendirian kami tidak pernah berubah. PBB menentang hukuman mati... jadi kami menyeru supaya moratorium hukuman mati dikembalikan di Afghanistan," kata memetik Guterres.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price, berkata pihaknya sudah melihat video hukuman mati itu yang tular secara dalam talian sejak hukuman itu dilaksanakan.

"Ini menunjukkan kepada kita yang Taliban berusaha untuk kembali kepada amalan kuku besi, tegar dan ganas yang mereka amalkan pada 1990-an.

"Ia akan menjadi penghinaan terhadap maruah dan hak asasi manusia semua warga Afghanistan," kata Price, yang menyifatkannya sebagai kegagalan jelas Taliban untuk menegakkan janji mereka.

Hukuman mati itu diumumkan ketika jurucakap AS di Afghanistan, Thomas West, bertemu dengan delegasi Taliban di Abu Dhabi, yang diketuai menteri pertahanan, Mohammad Yaqoob, anak kepada pengasas kumpulan itu, Mullah Omar.

West berkata, beliau membangkitkan mengenai 'keadaan hak asasi manusia yang semakin merosot' termasuk layanan terhadap wanita dan gadis, yang dinafikan hak pendidikan sejak Taliban kembali berkuasa. - AFP

Berita Harian X