Rabu, 7 Disember 2022 | 5:05pm
Ujian massa mandatori akan dihadkan kepada kawasan dan sekolah yang 'berisiko tinggi'. - Foto AP
Ujian massa mandatori akan dihadkan kepada kawasan dan sekolah yang 'berisiko tinggi'. - Foto AP

China umum longgarkan sekatan COVID-19 di seluruh negara

BEIJING: China hari ini mengumumkan pelonggaran sekatan COVID-19 di seluruh negara susulan protes terhadap strategi menangani penularan wabak itu yang disifatkan terlalu keras dan kini berkembang menjadi desakan untuk menuntut kebebasan politik.

Kemarahan terhadap dasar sifar COVID-19 di China yang membabitkan sekatan pergerakan secara besar-besaran, ujian saringan COVID-19 berterusan dan kuarantin termasuk dalam kalangan penduduk yang tidak dijangkiti mencetuskan kekacauan yang tidak pernah berlaku sejak protes prodemokrasi pada 1989.

Di bawah garis panduan baharu yang diumumkan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC), kekerapan dan skop ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) yang menjadi langkah utama dilaksanakan di China menerusi dasar sifar COVID-19 akan dikurangkan.

Pelaksanaan sekatan pergerakan juga akan dikurangkan dan individu dijangkiti COVID-19 dengan tidak mengalami gejala yang teruk boleh menjalani kuarantin di rumah, tanpa perlu ditempatkan di kemudahan disediakan kerajaan.

Selain itu, orang ramai juga tidak perlu menunjukkan kod kesihatan hijau pada telefon mereka untuk memasuki bangunan dan tempat awam, kecuali bagi 'pusat jagaan, institusi perubatan, tadika, sekolah menengah dan tinggi'.

Peraturan baharu turut membatalkan kuarantin wajib bagi individu positif COVID-19 yang tidak berdepan gejala atau hanya simptom ringan.

"Orang yang dijangkiti tanpa gejala dan kes ringan yang layak untuk pengasingan di rumah biasanya akan menjalani kuarantin di kediaman masing-masing atau mereka boleh secara sukarela memilih pengasingan secara berpusat untuk menerima rawatan.

"Ujian PCR besar-besaran hanya dijalankan di sekolah, hospital, pusat penjagaan dan unit kerja berisiko tinggi; skop dan kekerapan ujian PCR akan dikurangkan lagi.

"Orang yang mengembara antara wilayah tidak perlu menunjukkan keputusan ujian saringan dalam tempoh 48 jam dan tidak perlu membuat ujian semasa ketibaan," jelas kenyataan yang dipetik daripada garis panduan baharu itu.

Dalam pada itu, NHC memaklumkan akan mempercepatkan pemberian vaksin kepada warga emas, yang telah lama dilihat sebagai penghalang utama kepada pelaksanaan kelonggaran di Beijing.

Demonstrasi yang jarang berlaku di sini tercetus di seluruh negara sejak hujung bulan lalu susulan bantahan rakyat terhadap strategi sifar COVID-19 yang dilaksanakan Parti Komunis yang memerintah.

Ia berkembang menjadi gesaan bagi menuntut lebih banyak kebebasan politik, malah ada yang menyeru agar Presiden China, Xi Jinping meletakkan jawatan.

Pihak berkuasa bertindak tegas terhadap protes itu, namun pada masa sama melonggarkan beberapa sekatan, dengan beberapa bandar di China memutuskan akan menarik balik ujian saringan COVID-19 besar-besaran dan sekatan pergerakan.

Di Beijing yang menyaksikan banyak rangkaian perniagaan dibuka semula sepenuhnya turut melaksanakan kelonggaran berkuat kuasa minggu ini apabila individu yang menggunakan pengangkutan awam tidak perlu lagi menunjukkan ujian COVID-19 dengan keputusan negatif dalam tempoh 48 jam.

Hab kewangan di China, Shanghai yang turut berdepan sekatan pergerakan yang 'kejam' selama dua bulan pada tahun ini, turut mengumumkan peraturan sama, dengan penduduk dibenarkan memasuki lokasi awam seperti taman dan tarikan pelancong tanpa perlu menjalani ujian saringan COVID-19. - AFP

Berita Harian X