BEIJING: Penduduk China bergegas membeli kit antigen COVID-19 dan ubat demam serta selesema, berikutan langkah pihak berkuasa negara ini melonggarkan sekatan membendung penularan wabak itu sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai akan peningkatan risiko dijangkiti virus berkenaan.
Platform menjual ubat dalam talian, farmasi dan pengeluar ubat-ubatan melaporkan lonjakan jualan, termasuk syarikat JD Health yang memaklumkan jualan kit ujian antigen meningkat 344 peratus sepanjang tempoh 28 November hingga 4 Disember lalu berbanding minggu sebelumnya.
"Semua orang di sekeliling saya membeli kit antigen, dan saya turut membeli sebanyak 50 unit. Memandangkan negara sedang memasuki fasa baharu dasar pandemik, saya tidak pasti apa akan berlaku selepas ini. Kami hanya dapat berusaha melindungi diri, jadi saya juga membeli pelitup muka N95 dan ubat Tylenol serta Ibuprofen," kata penduduk Beijing, Huang Yuqi, 40.
Seorang pembantu kedai ubat di Beijing pula memberitahu Reuters, mereka kehabisan stok ubat demam sejak kelmarin.
"Saya tidak pernah melihat sebegitu ramai pelanggan datang membeli ubat demam dalam tempoh sehari. Kami cuba mendapatkan stok baharu tetapi ia berkemungkinan mengambil masa seminggu," katanya.
Kelmarin, pengawal selia pasaran di Beijing mengeluarkan amaran melarang perbuatan menyorok produk pencegahan epidemik dan menaikkan harga jualannya, meliputi ubat antivirus, pelitup muka serta produk disinfeksi. - REUTERS