Isnin, 5 Disember 2022 | 2:33pm
Penunjuk perasaan memegang kertas ko song tanda protes terhadap sekatan di Beijing, Ahad lalu. - Foto Reuters
Penunjuk perasaan memegang kertas ko song tanda protes terhadap sekatan di Beijing, Ahad lalu. - Foto Reuters

Bantahan rakyat serlah dilema dasar sifar COVID-19 Jinping

BEIJING: Protes jalanan jarang berlaku yang meletus di beberapa bandar seluruh China pada hujung minggu ialah referendum menentang dasar sifar COVID-19 Presiden Xi Jinping dan penentangan awam paling kuat semasa kerjaya politiknya, kata penganalisis China.

Sejak protes di Dataran Tiananmen pada 1989, ramai warga China berisiko ditahan dan dikenakan tindakan jika melakukan protes berhubung sesuatu isu.

Pakar China dengan Asia Society, Bates Gill, berkata protes kebelakangan ini adalah paparan kemarahan paling umum dan meluas rakyat terhadap dasar kerajaan sejak 10 tahun, selepas Jinping berkuasa.

Rasa tidak puas hati orang ramai terhadap dasar sifar COVID-19 dinyatakan di media sosial atau luar talian dalam bentuk poster di universiti atau protes adalah cabaran domestik terbesar Jinping sejak protes menentang rang undang-undang ekstradisi di Hong Kong pada 2019.

Jinping secara peribadi mendakwa bertanggungjawab mengetuai 'perang' menentang COVID-19, mewajarkan sifar-COVID dengan keperluan 'meletakkan orang di atas segala-galanya' dan menyatakan dasar itu antara pencapaian politik penggal ketiganya pada Kongres Parti Komunis Ke-20, Oktober lalu.

Xi Jinping.
Xi Jinping.

Hampir tiga tahun selepas COVID-19, China berkata dasarnya tidak menjurus kepada sifar kes pada setiap masa, sebaliknya tindakan secara dinamik dilaksanakan apabila kes muncul.

Penganalisis berkata, biarpun protes itu memalukan Jinping, mereka enggan menjatuhkannya kerana beliau mempunyai kawalan penuh ke atas jentera parti, tentera, keselamatan dan propaganda.

Ketika beberapa penunjuk perasaan melaungkan 'turun Jinping, turun Parti Komunis China', kebanyakan yang lain hanya risaukan diri sendiri dan menentang sekatan pergerakan di kediaman atau pengecualian daripada ujian yang kerap.

Bekas Profesor Madya di Universiti Sains Politik dan Undang-Undang Shanghai merangkap pengulas berpangkalan di Chile, Chen Daoyin, berkata kebanyakan masyarakat akan reda dan meneruskan kehidupan apabila kepentingan mereka dipenuhi.

Katanya, pelajar tidak terlalu teratur atau dipimpin tokoh pusat. Protes berlaku di Beijing, Shanghai, Wuhan, Chengdu dan Urumqi.

Ketika protes dan tindakan keras Tiananmen oleh pihak berkuasa China, peristiwa terakhir demonstrasi yang membawa kepada penggantian Setiausaha Agung parti, terdapat perpecahan dalam kalangan pemimpin tertinggi mengenai kaedah mengurus krisis dan tindakan yang perlu diambil China pada masa hadapan.

Jinping pinggirkan pengkritik

Keadaan berlainan bagi Jinping. Beliau menerusi Kongres memperbaharui tempohnya sebagai ketua parti dan ketua komander tentera, selain meletakkan pembantunya pada semua jawatan penting dalam parti.

Pemimpin terdahulu yang menyatakan pandangan berbeza atau memerintah dengan gaya berlainan daripadanya dipinggirkan.

Pakar China di Institut Asia Timur di Singapura, Lance Gore, berkata walaupun autoritarian membolehkan Jinping menjadi lebih berkuasa, ia juga mempunyai kelemahan seperti didedahkan protes.

"Jinping memerangkap dirinya kerana dikelilingi orang yang hanya bercakap perkara disukainya dan boleh menyebabkan beliau memandang rendah atau tidak berhubung dengan pihak yang menderita akibat dasar COVID-19 yang dilaksanakannya," katanya.

Protes itu memperbesarkan masalah yang semakin meruncing bagi Jinping, iaitu kaedah untuk berundur daripada dasar yang asalnya adalah kebanggaan, tetapi semakin menjadi liabiliti.

Jinping akan dilihat lemah dan mungkin menggalakkan orang ramai turun ke jalan melakukan protes apabila mahukan perubahan pada masa hadapan, jika beliau tunduk kepada tekanan awam dan mengembalikan sifar COVID-19.

Aktivis hak asasi manusia, peguam dan cendekiawan China, Teng Biao, berkata ia akan memberi signal dasar sifar COVID-19 Jinping gagal sepenuhnya dan jika beliau tunduk perlu bertanggungjawab, sekali gus menjatuhkan maruahnya.

Katanya, ia bukan watak Jinping untuk mengalah, selain beliau sudah menekankan keperluan menghalang 'revolusi warna' atau protes antikerajaan, yang terbaru apabila Presiden berucap pada sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai di Uzbekistan September lalu.

Jinping dalam ucapan tertutup juga mengeluh apabila Parti Komunis Soviet tumbang kerana tiada pihak berani menyahut cabaran itu.

Ia mampu membawa kepada kebinasaan berleluasa, kematian dan keruntuhan sistem perubatan dengan kesan itu sukar diterima, jika Jinping mengubah haluan pada dasar COVID-19 sebelum China bersedia.

Rakyat bosan, ekonomi terbantut

Jinping berisiko berdepan lebih banyak kemarahan rakyat yang semakin bosan, manakala pertumbuhan ekonomi terbantut.

Beliau cuba mengubah dasar sifar COVID-19 dengan mengeluarkan '20 langkah' bulan lalu, dalam usaha menyeragamkan tindakan pencegahan di seluruh China, menjadikannya lebih mesra rakyat dan ekonomi.

Namun, memandangkan Jinping secara tidak rasmi menolak keperluan membendung semua penularan, banyak pihak berkuasa tempatan masih tersilap serta melaksanakan perintah berkurung dan kuarantin lebih ketat daripada yang ditetapkan dalam 20 langkah.

Felo kanan di Yayasan Jamestown, Willy Lam, berkata mereka ketika ini dilihat tidak tahu apa-apa dengan Jinping dan sekutunya kelihatan sangat berkuasa dan pada masa sama menyaksikan tiada sambutan daripada pentadbiran baharu. - REUTERS

Berita Harian X