BEIJING: Lebih banyak bandar raya China termasuk Urumqi mengumumkan pelonggaran sekatan ketika China cuba menjadikan dasar sifar-COVID lebih disasarkan dan kurang membebankan selepas bantahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap sekatan hujung minggu lalu.
Urumqi, ibu kota wilayah Xinjiang dan tempat protes kali pertama tercetus, akan membuka semula pusat beli-belah, pasar, restoran dan tempat lain mulai hari ini, sekaligus menamatkan penutupan ketat selepas berbulan-bulan.
Malah, tiada tanda-tanda sebarang pergolakan ketara pada hujung minggu ini, walaupun polis mengawal ketat di kawasan Liangmaqiao di Beijing dan di Shanghai sekitar Jalan Wulumuqi, yang dinamakan sempena Urumqi di mana kedua-dua kawasan itu menyaksikan bantahan minggu lalu.
Bulan lalu, kebakaran maut di Urumqi mencetuskan berpuluh-puluh bantahan terhadap sekatan COVID-19 di lebih 20 bandar selepas beberapa pengguna media sosial mendakwa mangsa tidak dapat menyelamatkan diri kerana bangunan pangsapuri mereka dikunci, namun pihak berkuasa menafikannya.
Tunjuk perasaan itu menunjukkan ketidaktaatan awam yang belum pernah berlaku di tanah besar China sejak Presiden, Xi Jinping mengambil alih kuasa pada 2012.
Sejak itu, banyak bandar mengumumkan kelonggaran sekatan, keperluan ujian dan peraturan kuarantin.
Naib Perdana Menteri, Sun Chunlan, yang menyelia usaha COVID-19, minggu lalu berkata, keupayaan virus untuk menjangkiti semakin lemah, sejajar dengan apa yang dikatakan oleh banyak pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia selama lebih setahun.
Justeru, China bersedia untuk mengumumkan kelonggaran keperluan ujian di seluruh negara serta membenarkan kes positif dan hubungan rapat mengasingkan diri di rumah dalam keadaan tertentu, namun sekatan itu berbeza-beza di seluruh negara.
Mulai hari ini, orang ramai di Shanghai tidak perlu lagi menunjukkan ujian COVID-19 negatif untuk menaiki pengangkutan awam dan melawat taman, menerusi pengumuman pihak berkuasa semalam.
Selain itu, pembelian ubat batuk tidak lagi memerlukan pendaftaran.
Bilangan kes harian baharu menurun di seluruh negara kepada 31,824 kes dan dua kematian dilaporkan semalam, berkemungkinan disebabkan oleh ujian saringan yang sedikit. - REUTERS