Ahad, 4 Disember 2022 | 12:09pm
Pandangan Bandar Gaza yang menjadi sasaran pengeboman pesawat perang Israel. - Foto AFP
Pandangan Bandar Gaza yang menjadi sasaran pengeboman pesawat perang Israel. - Foto AFP

Israel, Hamas berbalas tembakan roket

BANDAR GAZA: Tentera udara Israel mendakwa melakukan serangan udara semalaman ke atas lokasi pergerakan Islam Hamas di Semenanjung Gaza selepas roket dilancarkan dari kawasan Palestin ke arah wilayah Israel.

Sejak petang semalam, tentera Israel melaporkan roket dilepaskan dari Semenanjung Gaza ke arah Israel, ia juga adalah serangan pertama dilancarkan pada bulan ini.

Serangan itu berlaku ketika salah satu puak bersenjata yang besar di Gaza, Jihad Islam, mengancam untuk bertindak balas selepas tentera Israel membunuh dua pemimpinnya di bandar Jenin, dekat Tebing Barat pada Khamis lalu.

"Sebagai tindak balas kepada roket yang dilepaskan ke arah wilayah Israel, jet pejuang Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyasarkan serangan semalaman (Ahad) ke atas tapak pembuatan senjata milik Hamas," kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sasaran IDF adalah tapak pembuatan 'majoriti roket pertubuhan itu di Semenanjung Gaza' selain turut menyerang terowong dikuasai Hamas di Selatan Semenanjung Gaza.

Tentera Israel berkata, beberapa jam kemudian ia menyasarkan pos tentera Hamas sebagai tindak balas terhadap tembakan dari Semenanjung Gaza terhadap pesawat perang Israel.

Sayap bersenjata Hamas berkata, pihaknya menggunakan peluru berpandu antipesawat ketika serangan udara Israel di Semenanjung Gaza.

Sumber keselamatan di Gaza melaporkan dua serangan di selatan wilayah itu, satu daripadanya di tapak latihan ketenteraan di Khan Younis dan di kawasan tidak berpenghuni berhampiran Rafah.

Menurut sumber perubatan Palestin, serangan itu tidak menyebabkan kecederaan.

Letupan akibat bedilan roket Israel kelihatan di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AP
Letupan akibat bedilan roket Israel kelihatan di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AP

"Zionis meningkatkan serangannya terhadap rakyat di sini dengan melakukan pengeboman kejam di Semenanjung Gaza, ini susulan daripada jenayah dilakukan semalam, dengan membunuh pemuda yang syahid, Ammar Mufleh di Huwara," kata jurucakap Hamas, Hazem Qassem.

Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Asia Barat, Tor Wennesland, menyifatkan pembunuhan Mufleh itu sebagai 'ngeri', ketika pemuda berkenaan bergelut dengan seorang askar Israel.

Dalam pada itu, Kesatuan Eropah (EU) menzahirkan kebimbangan yang tinggi susulan 'peningkatan tahap keganasan" yang menyaksikan 10 rakyat Palestin dibunuh oleh pasukan keselamatan Israel dalam tempoh beberapa hari.

"Fakta yang tidak boleh diterima ini mesti disiasat dan wajar ada tanggungjawab penuh.

"Di bawah undang-undang antarabangsa, kekerasan sehingga membawa maut hanya dibenarkan dalam keadaan di mana wujud ancaman serius dan risiko terhadap nyawa seseorang," kata Ketua Dasar Luar EU, Joseph Borell

Menurut saksi kejadian, bercanggah dengan apa yang dilaporkan Israel, Mufleh cuba membuka pintu kereta pasangan Israel secara paksa sebelum menikam seorang anggota polis sempadan.

Seorang pegawai kanan polis sempadan kemudian menembak mati Mufleh dari jarak dekat dan mendakwa warga Palestin itu cuba merebut senjatanya.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Israel berang dan menjawab kritikan yang dilemparkan serta mendakwa reaksi itu adalah penyelewengan kepada realiti sebenar.

"Ini bukan 'pergaduhan', ia adalah serangan pengganas. Pasukan keselamatan kami akan terus bertindak tegas menentang keganasan," katanya menerusi Twitter.

Sekurang-kurangnya 145 orang rakyat Palestin dan 26 warga Israel terbunuh dalam keganasan di Israel dan Tebing Barat, termasuk di Baitulmaqdis timur tahun ini. Ia adalah jumlah korban terburuk sejak 2015. - AFP

Berita Harian X