BEIJING: Pemerintah China memutuskan untuk melonggarkan sekatan sebahagian daripada dasar 'Sifar COVID-19', dengan Beijing membenarkan orang yang dijangkiti menjalani kuarantin di rumah.
Salah satu daerah yang berpenduduk paling padat di Beijing iaitu Chaoyang akan menjadi yang pertama menguji kaedah baharu itu, di mana individu yang dijangkiti tidak perlu lagi dipindahkan ke tapak kuarantin pemerintah.
Ia akan menjadi satu langkah besar yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa selepas bandar Guangzhou dan Chongqing mengumumkan pelonggaran sekatan susulan gelombang protes yang meluas.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, banyak bandar menyaksikan lonjakan protes oleh penduduk yang menentang sekatan baharu, manakala sebahagiannya bertukar ganas termasuk di Guangzhou, apabila polis bertempur dengan penunjuk perasaan.
Demonstrasi yang tercetus itu turut menerima kecaman Amerika Syarikat (AS) dan Kanada yang menggesa China untuk tidak menggunakan sebarang kekerasan terhadap penunjuk perasaan.
Peraturan baharu akan membenarkan orang ramai menjalani kuarantin di rumah selepas mereka menandatangani sepucuk surat dengan syarat tidak akan keluar semasa tempoh berkenaan, selain pengimbas dipasang pada pintu rumah mereka.
Bagaimanapun, kelonggaran sementara akan diberikan kepada warga emas dan wanita hamil yang sukar untuk mengunjungi kemudahan kesihatan.
Jumlah kes coronavirus di Beijing terus meningkat ketika perubahan itu diumumkan dan pada Rabu lalu, ibu negara China itu merekodkan 5,006 kes iaitu antara yang paling banyak dalam tempoh terdekat.
Timbalan Perdana Menteri, Sun Chunlan, ketika menemui pegawai kesihatan kebangsaan, berkata China berada dalam 'peringkat dan misi baharu' kerana pemerintah mungkin akan mengubah sedikit dasar berhubung COVID-19. - AFP