Jumaat, 2 Disember 2022 | 7:05pm
Berikutan pergolakan di seluruh China, beberapa bandar mula melonggarkan sekatan COVID-19, termasuk tidak lagi mengenakan ujian massa harian yang menjadi asas utama kehidupan yang membosankan di bawah dasar ketat sifar COVID-19 Beijing. - Foto AFP
Berikutan pergolakan di seluruh China, beberapa bandar mula melonggarkan sekatan COVID-19, termasuk tidak lagi mengenakan ujian massa harian yang menjadi asas utama kehidupan yang membosankan di bawah dasar ketat sifar COVID-19 Beijing. - Foto AFP

China melonggarkan lagi peraturan COVID-19 selepas protes

BEIJING: Bandar di seluruh China membatalkan arahan sekatan COVID-19 hari ini dengan melonggarkan peraturan ujian dan kuarantin susulan protes di seluruh negara yang menggesa penutupan dan kebebasan politik yang lebih besar dihentikan.

Kemarahan dan kekecewaan terhadap tindakan keras China melakukan sekatan wabak itu di bawa ke jalan raya hujung minggu lalu dalam demonstrasi meluas yang tidak pernah berlaku dalam beberapa dekad.

Berikutan pergolakan di seluruh China, beberapa bandar mula melonggarkan sekatan COVID-19, termasuk tidak lagi mengenakan ujian massa harian yang menjadi asas utama kehidupan yang membosankan di bawah dasar ketat sifar COVID-19 Beijing.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa terus berusaha membendung protes dengan keselamatan yang ketat di jalanan, tapisan panggilan dalam talian yang berkuat kuasa sepenuhnya dan pengawasan terhadap penduduk dipertingkatkan.

Mulai hari ini, metropolis barat daya Chengdu tidak lagi menetapkan keputusan ujian negatif untuk memasuki kawasan awam atau menaiki kereta api, sebaliknya hanya memerlukan kod kesihatan hijau yang mengesahkan mereka tidak pergi ke kawasan 'berisiko tinggi'.

Di Beijing semalam, pihak berkuasa kesihatan menggesa hospital supaya tidak menafikan rawatan kepada orang ramai tanpa ujian PCR negatif yang diambil dalam tempoh 48 jam.

Januari lalu, seorang wanita hamil di bandar Xi'an keguguran selepas ditolak masuk hospital kerana tidak mempunyai keputusan ujian PCR.

China menyaksikan peningkatan jumlah kematian selepas rawatan ditangguhkan akibat COVID-19 termasuk kematian seorang bayi berusia empat bulan baru-baru ini yang terperangkap dalam kuarantin bersama bapanya.

Kes-kes itu menjadi laungan semasa protes, dengan siaran tular yang menyenaraikan nama mereka yang meninggal dunia kerana dakwaan kecuaian yang dikaitkan dengan tindak balas wabak.

Beberapa bandar lain mula membenarkan restoran, pusat beli-belah dan juga sekolah dibuka semula, selepas peraturan penutupan yang ketat sebelum ini.

Di barat laut Urumqi, kebakaran yang mengorbankan 10 orang menjadi pencetus protes antisekatan, yang mana pihak berkuasa hari ini mengumumkan bahawa pasar raya, hotel, restoran dan pusat peranginan ski akan dibuka secara beransur-ansur.

Bandar dengan lebih empat juta penduduk itu menjadi antara salah satu kawasan yang ditutup paling lama di China, dengan beberapa kawasan ditutup pada awal Ogos.

Analisis akhbar milik kerajaan, People's Daily hari ini memetik beberapa pakar kesihatan menyokong langkah kerajaan tempatan membenarkan kes positif dikuarantin di rumah.

Peralihan itu menjadi tindakan yang ketara daripada peraturan semasa, yang memerlukan kuarantin dilaksanakan di kemudahan kerajaan.

Hab kilang selatan Dongguan semalam memberitahu, mereka yang memenuhi 'syarat khusus' harus dibenarkan untuk kuarantin di rumah, namun tidak menyatakan syarat yang dikenakan.

Hab teknologi selatan Shenzhen melancarkan dasar yang sama, Rabu lalu.

Pegawai kerajaan pusat juga memberi isyarat bahawa kelonggaran dasar sifar-COVID-19 yang lebih luas boleh dilaksanakan.

Bercakap di Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan Rabu lalu, Naib Perdana Menteri, Sun Chunlan, berkata varian Omicron semakin lemah dan kadar vaksinasi bertambah baik, seperti dilaporkan agensi berita Xinhua yang dikendalikan kerajaan.

Tokoh utama di sebalik tindakan sekatan wabak Beijing, Sun berkata 'situasi baharu' ini memerlukan 'tugas baharu'.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut mengenai sifar COVID-19 dalam kenyataan itu atau dalam mesyuarat lain yang mencadangkan pendekatan baharu, yang mana sekatan keterlaluan mengganggu ekonomi dan kehidupan seharian, mungkin tidak lama lagi dilonggarkan. - AFP

Berita Harian X