BEIJING: Kempen vaksinasi bagi warga emas mencetuskan harapan China mungkin menarik balik sekatan ketat COVID-19 hingga mendorong penunjuk perasaan mendesak Presiden China, Xi Jinping, meletak jawatan.
Susulan itu, pasaran saham meningkat selepas Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) pada Selasa lalu mengumumkan kempen yang sudah lama ditunggu-tunggu itu.
Dalam pada itu, pakar kesihatan dan pakar ekonomi memberi amaran, kempen vaksinasi akan mengambil masa berbulan-bulan dan China juga perlu membina hospitalnya serta menyusun strategi virus jangka panjang.
Ini memandangkan 'Dasar Sifar COVID-19' mungkin akan kekal sehingga pertengahan 2023 dan mungkin sehingga lewat 2024.
Sebelum ini, kadar vaksinasi yang rendah adalah antara halangan terbesar untuk menamatkan sekatan yang 'mengurung' berjuta-juta orang di dalam rumah, menekan ekonomi dan menghalang kebanyakan penduduk keluar dari China.
China, di mana COVID-19 buat pertama kali dikesan pada 2019 di Wuhan, adalah negara terakhir yang cuba menghentikan penularan sepenuhnya menerusi sekatan ketat.
Kebanyakan negara lain sudah lama melonggarkan kawalan dan cuba hidup dengan virus yang sudah membunuh sekurang-kurangnya 6.6 juta orang di seluruh dunia dan menjangkiti hampir 650 juta yang lain.
Penunjuk perasaan China juga menuduh Parti Komunis China yang memerintah gagal menggariskan jalan keluar daripada sekatan berulang kali yang memberi kesan buruk kepada perniagaan dan sekolah serta menggantung akses ke kawasan kejiranan.
Berikutan itu, parti pemerintah berjanji melonggarkan sekatan tetapi pemimpin parti berkata mereka tetap berpegang kepada 'Dasar Sifar COVID-19' dan tidak memberi tanda bila ia akan berakhir.
Semalam, Suruhanjaya Kesihatan melaporkan 37,828 kes baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu, termasuk 33,540 kes tanpa gejala.
Jumlah kematian rasmi ialah 5,233 mangsa daripada 319,536 kes yang disahkan, berbanding 1.1 juta kematian di Amerika Syarikat (AS) daripada hampir 100 juta kes jangkitan.
NHC berkata kempennya akan menggalakkan penduduk berusia lebih 60 tahun untuk divaksinasi dengan cara menghantar unit vaksin mudah alih untuk mencapai mereka berumur 70-an dan 80-an yang tidak boleh keluar rumah.
Setakat ini, sembilan daripada 10 penduduk China sudah divaksinasi tetapi hanya 66 peratus daripada mereka yang berumur 80 tahun ke atas sudah mendapat satu suntikan, manakala 40 peratus menerima dos penggalak dan 86 peratus yang berumur lebih 60 tahun sudah divaksin.
Pakar penyakit berjangkit dalam pasukan COVID-19 Shanghai menyatakan keyakinan China boleh keluar daripada wabak itu dengan program vaksinasi yang betul.
Bagi pakar pernafasan di Hospital Rakyat Universiti Wuhan, Changping, beliau berpendapat wabak itu tidak akan hilang dalam tempoh tiga atau lima tahun akan datang, dan mungkin tidak akan berlaku.
"Ia adalah tugas jangka panjang untuk pencegahan dan kawalan China," katanya. - AP