Khamis, 1 Disember 2022 | 1:59pm
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja di Pyongyang. - Foto AP
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja di Pyongyang. - Foto AP

Korea Utara terasa tekanan, sekatan ekonomi

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menggesa persidangan politik utama diadakan sebelum akhir tahun bagi menangani hubungan tegang dengan Washington dan Seoul berhubung pengembangan program nuklear dan peluru berpandunya.

Media negara Korea Utara berkata, Jong-un akan mempengerusikan mesyuarat Biro Politik Parti Pekerja yang memerintah, di mana ahli-ahli akan menyemak pelaksanaan dasar negara pada 2022 dan menentukan hala tuju tahun depan.

Kemudian ia memutuskan untuk mengadakan mesyuarat penuh Jawatankuasa Pusat parti lebih besar yang dijangka pada akhir Disember.

Jong-un dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menggunakan persidangan politik pada akhir Disember atau awal Januari untuk mengkaji hal ehwal negeri dan mendedahkan matlamat terpentingnya dalam dasar ekonomi dan luar negara serta pembangunan senjata.

Beliau dilihat melangkau tradisi sejak 2020 itu selepas menggunakannya selama bertahun-tahun untuk membuat pengumuman besar.

Menurut Agensi Berita Pusat Korea, dalam mesyuarat semalam di ibu negara Pyongyang, Jong-un menegaskan bahawa negara itu perlu mengatasi 'kesulitan yang belum pernah terjadi sebelumnya' secara dalaman dan luaran untuk mencapai kemajuan pembangunan negara serta mengangkat 'prestij dan kehormatan' negara itu.

Korea Utara meningkatkan ujian peluru berpandu ke tahap tertinggi, mengeksploitasi jurang dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang diburukkan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, bagi mempercepatkan pembangunan senjata dan meningkatkan tekanan ke atas Washington serta Seoul.

Jong-un juga bergelut untuk memperbaiki ekonomi dan menangani sekatan yang diburukkan lagi oleh penutupan sempadan sejak beberapa tahun kebelakangan akibat pandemik COVID-19, antara isu yang cuba ditanganinya semasa mesyuarat akhir tahun.

KCNA berkata, Jong-un menyifatkan 2023 sebagai tahun penting untuk mencapai matlamat yang ditetapkan di bawah rancangan lima tahun yang diselaras semasa kongres parti pemerintah pada Januari 2021, di mana beliau berikrar untuk merombak ekonomi dan juga mengukuhkan pembangunan nuklearnya dalam menghadapi AS.

Menyedari bahawa 2023 adalah 'tahun bersejarah' menandakan ulang tahun ke-75 penubuhan Korea Utara dan ulang tahun ke-70 berakhirnya Perang Korea 1950-53, Jong-un menegaskan 'jaminan yang menentukan untuk memenuhi rancangan lima tahun' harus dibentangkan untuk tahun akan datang. - AP

Berita Harian X