Rabu, 30 November 2022 | 8:50pm

15 maut, 20 cedera akibat letupan di sekolah agama di Afghanistan

KABUL: Seramai 15 orang maut, manakala sekurang-kurangnya 20 lagi cedera akibat letupan yang berlaku ketika solat, memusnahkan sekolah agama di Samangan, hari ini, kata jurucakap wilayah itu, Emdadullah Muhajir.

"Letupan dalam Madrasah Jahdia di tengah bandar Aybak, kira-kira jam 12.45 tengah hari. Ramai pelajar di madrasah (sekolah agama) ini," katanya.

Tidak jelas siapa dalang letupan itu.

Muhajir berkata siasatan sudah dimulakan.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Abdul Nafi Takor, mengesahkan letupan itu selain memaklumkan jumlah kematian setakat ini 10 orang dan lebih ramai lagi cedera dalam kejadian di ibu kota wilayah Samangan itu.

"Pasukan keselamatan sedang berusaha mengenal pasti pelaku jenayah ini dan membawa mereka ke muka pengadilan," katanya.

Kerajaan Taliban Afghanistan berkata, mereka memberi tumpuan mengawal negara yang dilanda perang itu sejak mengambil alihnya tahun lalu, namun beberapa serangan, termasuk di masjid berlaku beberapa bulan kebelakangan ini dan sebahagian daripadanya didalangi kumpulan militan. - REUTERS

Berita Harian X