Rabu, 30 November 2022 | 4:35pm
Ketua Pegawai Teknikal Hirotsu Bio Science, Eric Di Luccio melakukan ujian sampel kanser pankreas menggunakan cacing di makmalnya di Fujisawa, wilayah Kanagawa, Jepun. - Foto REUTERS
Ketua Pegawai Teknikal Hirotsu Bio Science, Eric Di Luccio melakukan ujian sampel kanser pankreas menggunakan cacing di makmalnya di Fujisawa, wilayah Kanagawa, Jepun. - Foto REUTERS

Firma bioteknologi Jepun guna cacing saring kanser pankreas

TOKYO: Firma bioteknologi Jepun memaklumkan sudah membangunkan ujian saringan awal kanser pankreas pertama di dunia, menggunakan cacing.

Hirotsu Bio Science melancarkan ujian N-NOSE plus Pancreas, bulan ini, memasarkan terus kepada pengguna di Jepun dengan sasaran membawa ujian itu ke Amerika Syarikat (AS) tahun depan.

Menurut firma itu, pengguna menghantar sampel air kencing melalui mel khas ke makmal dengan sampel diletak dalam piring petri dengan spesies nematod. Cacing yang dikenali secara saintifik sebagai C.elegans, mempunyai deria bau lebih kuat berbanding anjing bagi mengesan sel kanser.

Pengasas dan Ketua Eksekutifnya, Takaaki Hirotsu, yang menjalankan penyelidikan selama 28 tahun, berkata ia menjadikan hidupan mikro organisma sepanjang satu milimeter (mm) itu sebagai alat diagnostik yang kuat.

"Paling penting, ia berupaya membuat pengesanan awal kanser dan penyakit lain yang berkaitan yang mungkin peralatan mesin tidak mempunyai keupayaan sedemikian," katanya.

Hirotsu Bio melancarkan ujian pengguna N-NOSE pertamanya pada Januari 2020, yang didakwa berupaya mengetahui sama ada pengguna berisiko mendapat kanser atau tidak.

Kira-kira 250,000 orang menjalani ujian asal dengan hampir lima ke enam peratus menerima bacaan berisiko tinggi.

Menerusi versi terkini, syarikat itu mengubah kod genetik nematod supaya mereka dapat mengasingkan sampel kanser pankreas.

Hirotsu Bio melakukan ujian ke atas kanser pankreas kerana kesukaran dalam diagnosis dan perkembangannya.

Pada tahun akan datang, syarikat itu menjangkakan untuk melancarkan ujian bagi kanser hati, serviks dan payudara. - REUTERS

Berita Harian X