Rabu, 30 November 2022 | 3:24pm
Anggota keselamatan memeriksa kenderaan yang musnah dalam serangan bom di Quetta, barat Pakistan. - Foto AFP
Anggota keselamatan memeriksa kenderaan yang musnah dalam serangan bom di Quetta, barat Pakistan. - Foto AFP

3 maut, 23 cedera angkara dibom kumpulan Taliban Pakistan

QUETTA: Tiga maut manakala 23 lagi cedera akibat kejadian pengeboman berani mati yang menyasarkan trak polis di sini, ibu kota wilayah Balochistan di barat daya Pakistan, dengan serangan itu didakwa dilakukan Taliban, hari ini.

Kumpulan Taliban Pakistan, dikenali sebagai Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) adalah entiti berlainan daripada Taliban di Afghanistan tetapi berkongsi ideologi sama.

Kelmarin, kumpulan itu mengisytiharkan menamatkan gencatan senjata dengan Islamabad sejak musim panas dan mengarah serangan di seluruh negara diteruskan.

Timbalan Ketua Polis Quetta, Ghulam Azfar Mahesar, berkata beca milik pengebom berani mati yang sarat dengan bahan letupan meledak berhampiran sebuah trak pasukan konstabel Balochistan di kawasan Baleli, Quetta.

Beliau berkata, kejadian itu menyasarkan pasukan polis yang bersiap sedia mengiringi vaksin polio di Quetta dan mangsa terbunuh 'termasuk masing-masing seorang anggota polis, wanita dan kanak-kanak'.

Kesan letupan itu turut mengenai dua kenderaan persendirian.

Anggota polis, pasukan keselamatan dan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian dan memindahkan mayat dan mangsa yang cedera ke hospital berdekatan.

Siasatan awal mendapati kira-kira 25 kilogram bahan letupan digunakan dalam insiden itu.

Polis dan pasukan keselamatan telah mengepung kawasan itu dan melancarkan operasi mencari di wilayah berkenaan.

Dalam kenyataan kepada AFP, TTP mengaku bertanggungjawab atas 'serangan terbabit'. - AFP

Berita Harian X