BEIJING: Penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Guangzhou, menurut saksi dan rakaman sebahagian daripada gelombang demonstrasi di seluruh China yang tercetus akibat sekatan COVID-19.
Video di media sosial menunjukkan anggota keselamatan dilengkapi sut perlindungan diri membentuk barisan bahu ke bahu serta menggunakan perisai rusuhan bagi melepasi jalan di daerah Haizhu.
Rakaman secara geo oleh AFP menunjukkan perusuh menjerit ketika penghadang berwarna oren dan biru dilihat berselerak di atas tanah.
Penunjuk perasaan juga dilihat membaling objek ke arah polis, selain puluhan lelaki ditahan dengan tangan mereka diikat dengan kabel.
Penduduk Guangzhou yang hanya dikenali sebagai Chen, berkata dia menyaksikan kira-kira 100 pegawai polis berkumpul di Houjiao, Haizhu dan menahan sekurang-kurangnya tiga lelaki malam tadi.
Aparatus (alat) keselamatan China bergerak secara meluas dan pantas bagi meredakan protes di seluruh negara, ketika kekecewaan terhadap sekatan COVID-19 menyelubungi kebakaran di bangunan di Urumqi, Xinjiang, mengorbankan 10 orang, minggu lalu.
Daerah Haizhu dengan populasi lebih 1.8 juta orang menjadi punca sebahagian besar kes jangkitan COVID-19 di Guangzhou. Justeru, sebahagian besar kawasan itu menjalani sekatan pergerakan sejak akhir bulan lalu.
Penunjuk perasaan di Haizhu merempuh sekatan pergerakan dan berarak ke jalanan dalam kemarahan orang ramai yang jarang berlaku terhadap sekatan COVID-19, awal bulan ini.
Video protes itu tersebar di media sosial pada 14 November lalu, menunjukkan ratusan orang turun ke jalanan di Haizhu dengan beberapa daripada mereka merobohkan penghadang disediakan untuk menghalang penduduk menjalani sekatan pergerakan daripada meninggalkan rumah mereka. - AFP