Rabu, 30 November 2022 | 2:09pm
Seorang pegawai polis sempadan Israel mengacukan senjata semasa pertikaian antara penduduk Palestin dan Israel di Hebron di Tebing Barat yang diduduki Israel. - Foto REUTERS
Seorang pegawai polis sempadan Israel mengacukan senjata semasa pertikaian antara penduduk Palestin dan Israel di Hebron di Tebing Barat yang diduduki Israel. - Foto REUTERS

5 warga Palestin mati ditembak tentera Israel di Tebing Barat

RAMALLAH: Lima warga Palestin terbunuh akibat ditembak tentera Israel di Tebing Barat semalam, lapor agensi media Anadolu yang memetik Kementerian Kesihatan dan media Israel.

Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan memaklumkan, satu kematian berlaku di bandar Beit Ummar berhampiran bandar Hebron, manakala dua lagi kematian di kampung Kafr Ein di barat laut Ramallah.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, pasukan perubatannya merawat 22 warga Palestin yang cedera akibat tembakan tentera Israel di Beit Ummar.

Menurut penduduk tempatan, pertempuran ganas tercetus antara tentera Israel dan warga Palestin yang berang ketika serbuan tentera Israel.

Pihak tentera Israel didakwa menggunakan peluru hidup, peluru getah dan gas pemedih mata dalam pertempuran itu.

Sementara itu, seorang lagi warga Palestin mati ditembak tentera Israel, selepas mangsa didakwa mencederakan seorang rakyat Israel di Tebing Barat, lapor KAN.

Menurut KAN, pemandu warga Palestin itu melanggar seorang wanita Israel menggunakan kenderaannya di kawasan penempatan Kochav Yaakov di tengah Tebing Barat, memaksa tentera Israel mengejar suspek dan menembaknya.

Katanya, wanita Israel itu hanya cedera ringan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan berasingan, memaklumkan seorang lagi remaja Palestin terbunuh selepas ditembak di dada oleh tentera Israel di kampung al-Mugir, di timur laut Ramallah.

Beberapa saksi kejadian itu memaklumkan, tentera Israel yang membuat serbuan di al-Mugir menggunakan peluru hidup dan gas pemedih mata terhadap puluhan warga Palestin.

Remaja lelaki yang terbunuh itu dikenali sebagai Raid al-Nasan dan berusia sekitar 20an, lapor agensi media Wafa.

Ketegangan memuncak di seluruh Tebing Barat sejak beberapa minggu lalu susulan serbuan berulang kali tentera Israel untuk menahan 'warga Palestin dikehendaki', atau memusnahkan kediaman rakyat Palestin. Serbuan itu mencetus pertempuran dengan warga Palestin, yang menyebabkan beberapa kematian. - BERNAMA

Berita Harian X