Rabu, 30 November 2022 | 12:09pm
Bekas Perdana Menteri Australia, Scott Morrison. - Foto REUTERS
Bekas Perdana Menteri Australia, Scott Morrison. - Foto REUTERS

Parlimen Australia lulus usul kecam bekas PM

SYDNEY: Parlimen Australia hari ini meluluskan usul mengutuk bekas Perdana Menteri parti Liberal, Scott Morison selepas siasatan mendedahkan pelantikan rahsianya ke beberapa kementerian ketika pandemik COVID-19, menjejas kepercayaan rakyat pada kerajaan.

Morrison yang hilang kuasa dalam pilihan raya umum pada Mei lalu, didapati melantik dirinya ke lima jawatan Kabinet ketika pandemik, iaitu menteri kesihatan; menteri kewangan, perbendaharaan, menteri sumber dan menteri dalam negeri.

Usul bersejarah itu yang dibawa oleh parti pemerintah, Parti Buruh, diluluskan selepas memperoleh 86 undi menyokong berbanding 50 undi menolak di Dewan Rakyat Australia.

Kelulusan usul itu mencatat sejarah tersendiri apabila buat kali pertama bekas Perdana Menteri dikecam di Parlimen, namun usul itu lebih bersifat simbolik.

Ketika sesi perbahasan, Perdana Menteri Australia daripada Parti Buruh, Anthony Albanese, menyifatkan usul berkenaan sebagai mengangkat demokrasi negara itu yang amat berharga.

Terdahulu, Morrison mendakwa keputusannya tidak bertentangan dengan undang-undang, dan ia terpaksa dilakukan sekiranya menteri Kabinet tidak dapat bertugas ketika pandemik.

"Bagi pihak yang mahu menyokong usul ini, saya minta kamu berhenti seketika dan fikirkan satu perkara: adakah kamu pernah menguruskan krisis di mana tiada apa yang pasti.

"Dalam keadaan itu, adakah kamu mampu membuat keputusan yang semuanya tepat?" katanya di Parlimen sebelum sesi undian hari ini.

Morrison menegaskan hanya sekali menggunakan kuasanya, untuk menghalang pelaksanaan projek penerokaan gas PEP-11 milik BHP Eenergy. - REUTERS

Berita Harian X