Rabu, 30 November 2022 | 9:16am
Lelaki terbabit ditemui ketika kapal tangki itu berlabuh di Las Palmas di pulau Gran Canaria. - Foto AP
Lelaki terbabit ditemui ketika kapal tangki itu berlabuh di Las Palmas di pulau Gran Canaria. - Foto AP

Penumpang haram yang berpaut pada kemudi dihantar pulang

MADRID: Tiga migran yang tiba di Sepanyol selepas mengharungi perjalanan selama 11 hari di atas kemudi sebuah kapal tangki dari Nigeria, kembali dihantar ke kapal itu selepas diberikan rawatan perubatan.

Ketiga-tiga lelaki itu ditemui apabila kapal Alithini II berlabuh di Las Palmas di kepulauan Gran Canaria, Isnin lalu.

Satu gambar yang dikongsikan di media sosial oleh pengawal pantai Sepanyol, menunjukkan ketiga-tiga migran itu duduk di atas kemudi di buritan kapal tangki itu.

"Mereka berada dalam keletihan dan memiliki gejala hipotermia, dan apabila tiba di pelabuhan, mereka diberikan rawatan oleh perkhidmatan kesihatan," kata pengawal pantai Sepanyol dalam satu kenyataan.

Perkhidmatan kecemasan tempatan berkata, ketiga-tiga lelaki itu mengalami dehidrasi dan memerlukan rawatan di hospital.

Sementara itu, jurucakap kerajaan tempatan di Kepulauan Canary berkata, ketiga-tiga migran dihantar pulang ke kapal yang berlayar dengan bendera Malta itu semalam, yang perlu membawa mereka kembali ke Nigeria.

"Pengendali kapal perlu menguruskan mana-mana penumpang haram dan perlu membawa mereka pulang ke pelabuhan asal.

"Sekiranya ada penumpang haram dalam pesawat, syarikat penerbangan bertanggungjawab terhadap mereka," katanya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memberikan perincian mengenai kewarganegaraan ketiga-tiga migran itu, atau sama ada mereka memohon perlindungan di Sepanyol.

Berdasarkan portal pergerakan maritim, kapal Alithini II berlepas dari Lagos pada 17 November lalu menuju ke Las Palmas, dalam perjalanan sejauh 2,700 batu nautika atau 5,000 kilometer. - AFP

Berita Harian X