Rabu, 30 November 2022 | 9:05am
Gambar fail menunjukkan perarakan tentera China memperingati ulang tahun ke-70 penubuhan Komunis China di Beijing, pada 1 Oktober 2019. - Foto AP
Gambar fail menunjukkan perarakan tentera China memperingati ulang tahun ke-70 penubuhan Komunis China di Beijing, pada 1 Oktober 2019. - Foto AP

Bekalan senjata nuklear China dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2035 - Pentagon

WASHINGTON: Bekalan senjata nuklear China dijangka meningkat lebih tiga kali ganda kepada 1,500 peledak menjelang 2035, kata Pentagon semalam dalam satu laporan yang turut menyentuh peningkatan kecanggihan tentera udara China.

Washington mengenal pasti Beijing sebagai pencabar utama Amerika Syarikat (AS), dan laporan tahunan berhubung ketenteraan China mengetengahkan peningkatan senjata nuklear dan konvensional negara itu.

"Jabatan Pertahanan AS menjangkakan simpanan kepala peledak nuklear yang boleh beroperasi milik China sudah melebihi 400.

"Jika China meneruskan pengembangan nuklearnya dengan rentak yang sama, negara itu berkemungkinan memiliki simpanan kepala peledak sekitar 1,500 menjelang 2035," kata laporan itu.

Bagaimanapun, angka itu masih jauh ketinggalan di belakang simpanan senjata AS dan Russia, dengan masing-masing memiliki ribuan kepala peledak nuklear.

Menurut laporan Pentagon itu, China mungkin berhasrat membangunkan peledak nuklear dan platform pelancar baharu yang sekurang-kurangnya memiliki keberkesanan, keutuhan dan ketahanan yang setanding dengan aset yang sedang dibangunkan AS dan Russia.

Beijing juga didakwa sedang berusaha memodenkan simpanan senjata balistik, dengan melancarkan kira-kira 135 peluru berpandu itu dalam ujian sepanjang tahun lalu, lebih banyak daripada seluruh dunia, tidak termasuk yang dilancarkan dalam konflik.

Laporan itu memaklumkan, China sedang membangunkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang akan meningkatkan kekuatan nuklearnya secara signifikan.

Pasukan tentera udara Beijing pula, yang ketiga terbesar di dunia dengan lebih 2,800 pesawat, mengejar keupayaan tentera udara Barat dengan pantas, dan terus dimodenkan dengan penghantaran pesawat yang dibina secara domestik, serta memiliki pelbagai jenis pesawat tanpa pemandu (UAV). - AFP

Berita Harian X