Selasa, 29 November 2022 | 3:57pm
Rakaman video melalui AFPTV pada 27 November 2022 menunjukkan penunjuk perasaan menjerit slogan ketika polis cuba mengekang mereka. - Foto AFP
Rakaman video melalui AFPTV pada 27 November 2022 menunjukkan penunjuk perasaan menjerit slogan ketika polis cuba mengekang mereka. - Foto AFP

Beijing, Shanghai dikawal rapi susulan protes

SHANGHAI: Beijing dan Shanghai hari ini dikawal pihak keselamatan susulan perhimpunan di seluruh China yang mendesak kebebasan politik dan menamatkan sekatan pergerakan COVID-19.

Kepimpinan negara berdepan protes hujung minggu yang tidak pernah dilihat sejak beberapa dekad, kerana kemarahan terhadap sekatan berterusan, mencetuskan kekecewaan secara keseluruhan terhadap sistem politik.

Kebakaran di Urumqi, ibu kota wilayah Xinjiang di barat laut China minggu lalu, menjadi pemangkin gelombang kemarahan, dengan penunjuk perasaan turun ke jalanan di bandar di seluruh negara.

Penunjuk perasaan berkata, sekatan pergerakan wajar dipersalahkan kerana menghalang usaha menyelamat, dengan dakwaan itu dinafikan kerajaan kerana menuduh 'kuasa dengan motif tersembunyi', mengaitkan kematian akibat kejadian itu dengan kawalan COVID-19 yang ketat.

Kemarahan ekoran sekatan pergerakan semakin meluas, mendesak seruan perubahan politik dengan penunjuk perasaan memegang helaian kertas kosong bagi melambangkan tapisan dikenakan China.

Lebih banyak protes dirancang malam tadi tetapi tidak dilaksanakan dengan wartawan AFP di Beijing dan Shanghai menyatakan kehadiran ramai polis, membabitkan ratusan kenderaan dan pegawai di jalanan.

Orang ramai yang menyertai demonstrasi hujung minggu memberitahu AFP semalam, mereka menerima panggilan daripada pegawai penguat kuasa undang-undang, menuntut maklumat pergerakan mereka. - AFP

Berita Harian X