Selasa, 29 November 2022 | 12:42pm
Anggota polis menahan seorang penunjuk perasaan ketika protes di Shanghai, China, membantah sekatan ketat bagi membendung COVID-19 dan menuntut kebebasan politik. - Foto AP
Anggota polis menahan seorang penunjuk perasaan ketika protes di Shanghai, China, membantah sekatan ketat bagi membendung COVID-19 dan menuntut kebebasan politik. - Foto AP

China berusaha bendung tunjuk perasaan COVID-19 di seluruh negara

SHANGHAI: Pasukan keselamatan China menahan beberapa penunjuk perasaan semalam di lokasi demonstrasi, dalam usaha cuba menamatkan protes di seluruh negara itu bagi menuntut kebebasan politik dan penamatan perintah berkurung COVID-19.

AFP melihat anggota polis membawa dua individu dari lokasi demonstrasi di Shanghai, di mana penunjuk perasaan berhimpun sepanjang minggu, ketika pasukan penapisan kandungan China cuba memadamkan maklumat protes di media sosial.

Penduduk turun ke jalanan di beberapa bandar utama dan berhimpun di kampus universiti di seluruh China Ahad lalu bagi menggesa kerajaan menamatkan perintah berkurung dan memberikan lebih banyak kebebasan politik, dalam gelombang tunjuk perasaan yang pertama sejak demonstrasi prodemokrasi pada 1989.

Kebakaran minggu lalu di Urumqi, ibu negeri Xinjiang, di mana 10 mangsa terbunuh, turut menyumbang kepada kemuncak kemarahan orang ramai, dengan kebanyakannya menyalahkan perintah berkurung sebagai punca kelewatan usaha menyelamat.

Gambar tangkap layar menunjukkan pasukan keselamatan bertempur dengan pekerja di luar kilang pembekal Apple, Foxconn, di Zhengzhou, China berhubung sekatan tegar bagi membendung COVID-19. - Foto REUTERS
Gambar tangkap layar menunjukkan pasukan keselamatan bertempur dengan pekerja di luar kilang pembekal Apple, Foxconn, di Zhengzhou, China berhubung sekatan tegar bagi membendung COVID-19. - Foto REUTERS

Pada masa sama, penunjuk perasaan turut menggesa kerajaan memberi lebih banyak kebebasan politik, dengan ada yang menuntut Presiden China, Xi Jinping, meletak jawatan, selepas beliau dilantik sebagai pemerintah negara itu untuk penggal ketiga baru-baru ini.

Sejumlah besar orang ramai turut berhimpun di Beijing dan Shanghai Ahad lalu, di mana polis bertempur dengan penunjuk perasaan ketika cuba menghalang mereka berkumpul di jalan Wulumuqi.

Ratusan lagi penduduk turut berhimpun di kawasan sama sambil memegang kertas kosong dan bunga, sebagai tanda simbolik membantah penapisan maklumat.

Foto fail AP
Foto fail AP

BBC memaklumkan, seorang wartawannya ditahan dan dipukul oleh polis ketika membuat liputan tunjuk perasaan di Shanghai.

Di Beijing, sekurang-kurangnya 400 penduduk berhimpun di tebing sungai selama beberapa jam, dengan ada yang melaungkan 'Kami semua penduduk Xinjiang! Hidup orang China'.

Seorang wartawan AFP menyaksikan dua individu ditahan polis di Shanghai, dengan pihak berkuasa melarang orang awam berhampiran mengambil gambar atau merekodkan video di kawasan itu.

Badan tapisan negara itu turut 'membersihkan' media sosial China daripada laporan berhubung tunjuk perasaan semalam, dengan carian perkataan 'Sungai Liangma' dan 'Jalan Urumqi', dipadam daripada Weibo. - AFP

Berita Harian X