BEIJING: Wilayah Xinjiang China melonggarkan beberapa sekatan COVID-19 di Urumqi.
Ia susulan kebakaran yang tercetus di bandar itu sehingga mencetuskan protes di seluruh negara, di mana rakyat menyalahkan pelaksanaan perintah berkurung.
Seramai empat juta penduduk di bandar itu, terkurung di rumah mereka selama beberapa minggu, kini boleh menaiki bas untuk menjalankan tugas di dalam daerah asal mereka mulai Selasa ini.
Perniagaan penting tertentu di kawasan 'berisiko rendah' juga boleh memohon untuk memulakan semula operasi pada kapasiti 50 peratus manakala pengangkutan awam dan penerbangan akan mula 'disambung semula dengan teratur'.
Seramai 10 orang terbunuh apabila kebakaran melanda bangunan kediaman di Urumqi, sehingga mendorong orang ramai untuk turun ke jalan di beberapa bandar raya China bagi membantah dasar sifar-COVID di negara itu.
Ramai pengguna media sosial menyalahkan penutupan COVID-19 di Urumqi yang didakwa menghalang usaha menyelamat, namun pegawai berkata kereta persendirian menghalang laluan anggota bomba.
Jurucakap kementerian luar China, Zhao Lijian, hari ini menyelar 'pihak dengan motif tersembunyi' kerana mengaitkan kebakaran dengan COVID-19.
Urumqi juga akan menyambung semula perkhidmatan penghantaran bungkusan - bagaimanapun pekerja logistik perlu tinggal dalam asrama syarikat.
Dasar sifar-COVID China yang berterusan mencetuskan protes dan menjejaskan produktiviti dalam ekonomi kedua terbesar di dunia itu.
Orang ramai semakin bosan dengan penutupan, kuarantin panjang dan kempen ujian besar-besaran.
Satu siri peraturan baharu yang diumumkan oleh Beijing awal bulan ini menunjukkan peralihan strategi dengan melonggarkan keperluan kuarantin bagi memasuki negara itu dan memudahkan sistem menetapkan kawasan berisiko tinggi. - AFP