Ahad, 27 November 2022 | 7:27pm
Kematian Mahsa Amini kerana didakwa melanggar peraturan etika berpakaian, mencetuskan bantahan besar. - Foto AGENSI
Kematian Mahsa Amini kerana didakwa melanggar peraturan etika berpakaian, mencetuskan bantahan besar. - Foto AGENSI

Pengurus bank Iran dipecat beri perkhidmatan kepada wanita tidak berhijab

TEHRAN: Seorang pengurus bank Iran dipecat selepas dipercayai melayan seorang pelanggan wanita yang tidak memakai hijab.

Arahan wajib menutup kepala itu bagaimanapun mencetuskan tunjuk perasaan.

Wanita di negara yang mempunyai lebih 80 juta orang itu dikehendaki menutup kepala, leher dan rambut mereka, mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan oleh polis moral negara berkenaan.

Agensi berita Mehr melaporkan bahawa pengurus bank di wilayah Qom, berhampiran ibu negara Tehran, 'memberikan perkhidmatan bank kepada seorang wanita yang tidak berhijab'.

Akibatnya, beliau 'dipecat daripada jawatannya atas perintah gabenor', menurut Mehr yang memetik timbalan gabenor Ahmad Hajizadeh.

Mehr berkata, video wanita yang tidak berhijab itu 'menimbulkan banyak reaksi di media sosial'.

Di Iran kebanyakan bank dikawal oleh kerajaan dan Hajizadeh berkata, adalah menjadi tanggungjawab pengurus di institusi sedemikian untuk melaksanakan undang-undang hijab.

Puluhan orang, terutamanya penunjuk perasaan dan juga anggota pasukan keselamatan terbunuh ketika demonstrasi, yang menurut Iran digalakkan oleh 'musuh' Baratnya.

Hijab menjadi wajib empat tahun selepas revolusi 1979 yang menggulingkan monarki yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan menubuhkan Republik Islam.

Dengan perubahan norma pakaian, menjadi perkara biasa untuk melihat wanita berseluar jeans ketat dan tudung longgar berwarna-warni.

Pada Julai tahun ini, Presiden ultra konservatif, Ebrahim Raisi menggesa menggerakkan 'semua institusi negara untuk menguatkuasakan undang-undang tudung'.

Bagaimanapun, ramai wanita terus melanggar peraturan itu. - AFP

Berita Harian X