TAIPEI: Perhatian beralih kepada pilihan raya presiden Taiwan yang akan datang pada 2024 selepas Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memerintah dibelasah pada pilihan raya tempatan semalam.
Tindakan Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, memberi tumpuan kepada China ternyata tidak diterima baik oleh pengundi, meskipun negara komunis itu merancakkan kegiatan tentera dalam usaha menuntut Taiwan sebagai wilayahnya.
Parti pembangkang utama Kuomintang atau KMT, meraih kemenangan dalam pilihan raya datuk bandar dan daerah, memenangi 13 daripada 21 kerusi dipertandingkan, termasuk di ibu kota Taipei, seperti yang dijangka.
Malah, tiada seorang pun daripada mereka yang dipilih mempunyai suara secara langsung dalam dasar mengenai China.
KMT secara tradisinya intim dengan China tetapi menafikan sekeras-kerasnya sebagai pro-Beijing dan ketinggalan sejak kekalahan pilihan raya presiden 2020.
Mereka juga menerima tamparan hebat Disember lalu apabila empat referendum yang diperjuangkan sebagai usul undi tidak percaya terhadap kerajaan, menemui kegagalan.
Bercakap kepada pemberita lewat Sabtu di ibu pejabat parti, pengerusinya Eric Chu, berkata KMT memahami bahawa mereka hanya menang dengan bersatu.
"Rakyat Taiwan memberi kami peluang. Menjadi tidak mementingkan diri adalah satu-satunya peluang KMT boleh memenangi pilihan raya 2024," katanya.
Tsai meletak jawatan sebagai pengerusi DPP selepas kekalahan itu, persembahan terburuk dalam sejarah parti, dan kini hanya tinggal lima jawatan datuk bandar atau ketua daerah.
Beliau sebelum ini merangka undian itu sebagai penentangan terhadap sikap agresif China yang semakin meningkat, terutamanya selepas ia mengadakan latihan perang berhampiran pulau itu pada Ogos dan Presiden Xi Jinping, berikrar untuk membawa Taiwan di bawah kawalan China.
Namun, strategi Tsai gagal untuk menggerakkan pengundi, yang memisahkan geopolitik daripada pilihan raya tempatan dan secara tradisinya lebih menumpukan kepada isu jenayah kepada pencemaran.
Peratusan keluar mengundi semalam juga berada pada rekod terendah, hanya 59 peratus untuk enam bandar terpenting di Taiwan, berbanding angka keseluruhan sekitar 75 peratus pada 2020.
Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu, minggu lalu berkata negara itu menyaksikan kurang campur tangan China menjelang pilihan raya tempatan, mungkin disebabkan masalah domestik China sendiri dan usahanya untuk meningkatkan imej antarabangsa.
Setiausaha Agung DPP, Lin Hsi-yao pula memberitahu pemberita bahawa parti itu akan melakukan 'semakan' mengenai apa yang silap dan enggan mengulas secara langsung mengenai taktik mereka menjadikan isu China itu penting.
KMT menumpukan kempennya pada isu seperti pandemik COVID-19, terutama selepas peningkatan kes tahun ini dan sama ada kerajaan lebih mengutamakan vaksin tempatan berbanding vaksin import. - REUTERS