BEIJING: China melaporkan rekod COVID-19 tertinggi 39,791 jangkitan semalam, dengan 3,709 adalah bergejala manakala 36,082 lagi tidak bergejala, kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, hari ini.
Sehari sebelumnya, sebanyak 35,183 kes iaitu 3,474 kes bergejala dan 31,709 kes tanpa gejala, yang dikira secara berasingan oleh China.
Tidak termasuk jangkitan import, China melaporkan sejumlah 39,506 kes tempatan baharu, dengan 3,648 adalah bergejala dan 35,858 tidak bergejala, meningkat daripada 34,909 berbanding sehari sebelumnya.
Bagaimanapun, semalam pihak berkuasa mengisytiharkan bahawa mereka pada dasarnya sudah mencapai 'Sifar COVID' yang bermaksud bahawa tiada lagi penyebaran komuniti.
Sebaliknya, jangkitan baharu hanya dikesan pada orang yang sudah berada di bawah pemantauan kesihatan, seperti mereka yang berada di kemudahan kuarantin berpusat.
Namun, penduduk China terutama pengguna media sosial, menerima berita itu dengan rasa tidak percaya dan berpandangan sinis.
"Hanya China boleh mencapai kelajuan ini," tulis seorang pengguna di Weibo.
Di media sosial China, kini di Weibo, Twitter dan Douyin, pengumuman 'sifar COVID' menjadi tanda pagar nombor satu.
Ledakan kritikan itu juga menandakan perubahan mendadak dalam pendapat umum kerana pada awal pandemik, pendekatan China untuk mengawal COVID-19 dipuji oleh rakyatnya sendiri sebagai meminimumkan kematian pada masa negara lain mengalami gelombang jangkitan yang dahsyat.
Bagaimanapun kini, penduduk China yang semakin tertekan dengan pelbagai sekatan, larangan dan perintah berkurung kini sudah mula mengadakan protes secara terbuka, sesuatu yang jarang berlaku di China.
Hari ini, penduduk Shanghai turun ke jalanan membantah dasar Sifat COVID-19, menuntut pihak berkuasa tamatkan semua sekatan dan larangan berkaitan COVID-19.
Bandar dengan lebih 25 juta penduduk itu mengharungi perintah berkurung lebih dua bulan awal tahun ini, menyaksikan kekurangan bekalan makanan yang serius.
Sebelum ini, ramai rakyat di Xinjiang dikurung sejak Ogos dan kebanyakannya tidak dibenarkan meninggalkan rumah mereka dan ada yang dilaporkan melalui keadaan yang teruk, termasuk masalah penghantaran makanan yang menyebabkan penduduk kelaparan.
Jumaat lalu, bandar itu melaporkan 220 kes baharu, yang sebahagian besarnya tidak menunjukkan gejala.
Wanita Uighur di Urumqi juga berkata, dia sudah terperangkap di pangsapurinya sejak 8 Ogos, malah tidak dibenarkan membuka tingkapnya.
Pada Jumaat lalu, penduduk di kawasan kejiranannya mengingkari arahan itu, membuka tingkap mereka dan menjerit sebagai protes.
Pihak berkuasa juga dituduh terlalu tegas melaksanakan perintah berkurung sehingga 10 mangsa terkorban dalam kebakaran di sebuah pangsapuri di Urumqi, ibu negeri Xinjiang Selasa lalu.
Orang ramai mengadakan tunjuk perasaan, malah ada yang berani melaungkan slogan menggesa Presiden China, Xi Jinping, meletak jawatan.
Tunjuk perasaan seumpamanya turut dilaporkan di beberapa bandar utama serata China, sekali gus mendedahkan kekecewaan penduduknya terhadap kegagalan kerajaan mengekang COVID-19 walaupun bertindak tegas. - AP