SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menegaskan matlamat utama negaranya adalah untuk memiliki kuasa nuklear paling berkuasa di dunia.
Beliau berkata demikian sewaktu menaikkan pangkat berpuluh-puluh pegawai tentera yang terbabit dalam pelancaran peluru berpandu balistik terbesar Korea Utara baru-baru ini, lapor media kerajaan, KCNA hari ini.
Ia diucapkan selepas Kim memeriksa ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Hwasong-17 baharu negara itu, malah turut berjanji untuk menentang ancaman nuklear Amerika Syarikat (AS) dengan senjata nuklear pada 18 November.
Kata jong-un, membina tenaga nuklear adalah untuk melindungi maruah dan kedaulatan negara serta rakyat dan 'matlamat utamanya adalah untuk memiliki kuasa strategik paling berkuasa di dunia, kuasa mutlak yang belum pernah berlaku sebelum ini'.
Beliau turut menggelar Hwasong-17 sebagai 'senjata strategik terkuat di dunia', malah akan menunjukkan keazaman dan keupayaan Korea Utara dengan membina tentera terkuat di dunia.
Katanya, saintis Korea Utara juga sudah membuat 'lonjakan yang menakjubkan dalam pembangunan teknologi pelekap nuklear pada peluru berpandu balistik'.
Sambil bergambar bersama saintis, jurutera, pegawai tentera dan lain-lain yang terbabit dalam ujian itu, Jong-un berkata beliau menjangkakan negara akan terus mengembangkan dan mengukuhkan penghalang nuklear negara pada kadar yang luar biasa pantas.
Pekerja-pekerja itu turut mengeluarkan sumpah taat setia dan kepercayaan kepada parti pemerintah serta berikrar untuk mempertahankan 'kuasa mutlak' parti dan Jong-un, malah berikrar bahawa 'peluru berpandu itu akan terbang dengan kuat melalui arah yang ditunjukkannya'.
Mereka berikrar bahawa Jong-un sudah 'mengajar mereka satu demi satu dengan berhati-hati' sewaktu pembangunan Hwasong-17.
Peluru itu juga didakwa mampu sampai sehingga ke tanah besar AS, mendorong Washington meminta Presiden Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meminta Korea Utara bertanggungjawab atas ujian peluru berpandunya, yang diharamkan oleh resolusi badan dunia itu.
KCNA, dalam satu laporan lain menyatakan, Jawatankuasa Tetap Perhimpunan Rakyat Tertinggi Korea Utara turut menganugerahkan peluru berpandu Hwasong-17 dengan gelaran 'Wira dan Pingat Bintang Emas DPRK serta Darjah Kebesaran Bendera Negara Kelas Pertama'.
"(Peluru berpandu) dengan jelas membuktikan kepada dunia bahawa Demokratik Republik Rakyat Korea (DPRK) adalah kuasa nuklear sepenuhnya yang mampu menentang ketuanan nuklear imperialis AS.
"Ini menunjukkan sepenuhnya kekuatannya sebagai negara peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) paling berkuasa," kata KCNA.
Laporan itu menambah, tembakan ujian itu menunjukkan bahawa Korea Utara akan bertindak balas terhadap 'nuklear musuh dan konfrontasi penuh'. - REUTERS