Jumaat, 25 November 2022 | 5:55pm
Keadaan protes berhampiran kilang iPhone Foxconn di Zhengzhou, China. Foto REUTERS
Keadaan protes berhampiran kilang iPhone Foxconn di Zhengzhou, China. Foto REUTERS

Lebih 20,000 pekerja baharu tinggalkan kilang iPhone Foxconn di China

TAIPEI: Lebih 20,000 pekerja di kilang iPhone Foxconn di China dengan kebanyakan mereka pekerja baharu yang belum memulakan tugas di bahagian pembuatan, dilaporkan meninggalkan kilang itu, menurut sumber Foxconn yang memberitahu Reuters.

Tindakan meninggalkan kilang iPhone terbesar dunia memberi tamparan hebat kepada syarikat Taiwan yang bergelut dengan sekatan pergerakan COVID-19 hingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja dan mengganggu pengeluaran telefon jenama itu menjelang cuti perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina pada Januari.

Kebimbangan semakin memuncak terhadap keupayaan Apple untuk memenuhi permintaan produk bagi tempoh cuti yang sibuk di samping bantahan pekerja yang berlarutan di kilang Zhengzhou, di wilayah tengah China yang mengeluarkan model popular iPhone 14 keluaran syarikat Amerika Syarikat (AS).

Menurut sumber, tindakan pekerja itu akan menyukarkan sasaran Foxconn untuk menyambung semula operasi pengeluaran secara penuh menjelang akhir bulan ini.

Bagaimanapun, Foxconn yang secara rasmi dikenali sebagai Hon Hai Precision Industry Co, enggan memberikan sebarang ulasan.

Begitu juga Apple enggan mengulas yang mana syarikat itu semalam, mengatakan pihaknya mempunyai kakitangan di kilang itu.

Bantahan yang jarang berlaku di China menandakan pergolakan semakin meningkat di kilang itu ekoran kekecewaan orang ramai terhadap pelaksanaan sekatan pergerakan COVID-19 yang ketat dan kegagalan pengilang kontrak menguruskan situasi dengan cekap.

Pekerja mengadu mereka terpaksa berkongsi asrama dengan rakan sekerja yang positif COVID-19 dan mendakwa bahawa mereka terpedaya dengan faedah pampasan di kilang yang menyumbang 70 peratus daripada penghantaran global iPhone.

Semalam, Foxconn menawarkan 10,000 yuan (RM6,265) kepada pekerja yang protes jika bersetuju meletak jawatan dan meninggalkan kilang itu.

Syarikat itu memohon maaf atas 'kesilapan teknikal' berkaitan dengan gaji semasa mengambil pekerja, yang dikatakan pekerja sebagai faktor yang membawa kepada bantahan yang membabitkan perselisihan dengan anggota keselamatan.

Video yang disiarkan di media sosial China hari ini menunjukkan orang ramai dan barisan panjang pekerja sarat bagasi beratur untuk menaiki bas.

Satu lagi sumber lain berkata, beberapa pekerja baharu meninggalkan kampus tetapi tidak menjelaskan secara terperinci bilangan sebenarnya.

Bantahan di kilang Foxconn berlaku ketika China mencatatkan peningkatan bilangan jangkitan COVID-19 dan bergelut dengan sekatan pergerakan sekali gus mencetuskan kekecewaan dalam kalangan rakyat di seluruh negara.

Ia juga turut mendedahkan masalah komunikasi dan ketidakpercayaan terhadap pengurusan Foxconn dalam kalangan beberapa kakitangan.

Foxconn melancarkan pengambilan pekerja baharu bulan ini, menjanjikan bonus dan gaji yang lebih tinggi bagi menangani isu sekatan pergerakan akibat COVID-19, bulan lalu.

Sekatan itu memaksa syarikat itu mengasingkan ramai pekerja, menyebabkan beberapa pekerja melarikan diri. - REUTERS

Berita Harian X