Jumaat, 25 November 2022 | 10:39am
Pejuang Peshmerga Kurdish yang bersekutu dengan Parti Pembebasan Kurdistan (PAK), meneliti kemusnahan akibat serangan roket Iran di dekat pekan Altun Kupri (Perdi), ke utara Kirkuk, wilayah autonomi Kurdistan di Iraq. - Foto AFP
Pejuang Peshmerga Kurdish yang bersekutu dengan Parti Pembebasan Kurdistan (PAK), meneliti kemusnahan akibat serangan roket Iran di dekat pekan Altun Kupri (Perdi), ke utara Kirkuk, wilayah autonomi Kurdistan di Iraq. - Foto AFP

Iran pertahan serangan terhadap utara Iraq

TEHRAN: Iran semalam memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ia tidak mempunyai pilihan selain bertindak mempertahankan diri dengan menyerang kumpulan pemberontak Kurdish di utara Iraq, lapor media kerajaan.

Negara Republik Islam itu melancarkan beberapa siri tembakan peluru berpandu rentas sempadan dan serangan dron ke atas kumpulan pembangkang Iran-Kurdish yang berpangkalan di Iraq.

Kumpulan itu dipersalahkan kerana mencetuskan protes besar-besaran susulan kematian wanita Kurdish, Mahsa Amini, ketika dalam tahanan polis moral Iran.

"Iran baru-baru ini menjalankan operasi terhadap kumpulan pengganas di utara Iraq kerana tidak mempunyai pilihan lain selain menggunakan hak untuk mempertahankan diri dalam rangka kerja undang-undang antarabangsa untuk melindungi keselamatan negara.

"Kumpulan pengganas baru-baru ini meningkatkan serangan mereka dan memindahkan sejumlah besar senjata secara haram ke Iran dengan niat untuk melancarkan operasi pengganas," tulis wakil tetap Tehran ke PBB.

kandungan surat penjelasan itu yang ditujukan kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC), dipetik oleh agensi berita, IRNA.

Kumpulan Iran-Kurdish sudah lama mendiami kawasan wilayah autonomi Kurdistan di utara Iraq dan sebelum ini melancarkan pemberontakan bersenjata terhadap Tehran.

Iran berulang kali menuduh kumpulan berkenaan mencetuskan kekacauan di negara itu sejak kematian Amini pada September lalu.

Surat itu turut menyatakan, mereka menggunakan wilayah Iraq untuk merancang, menyokong, mengatur dan melaksanakan tindakan terhadap Iran.

Tehran dalam surat sama turut menuntut penjenayah pengganas itu dibicarakan oleh mahkamah Iran, penutupan pusat dan kem latihan mereka, selain pelucutan senjata di utara Iraq.

Selasa lalu, agensi berita Tasnim melaporkan Pengawal Revolusi Iran melakukan serangan peluru berpandu dan dron rentas sempadan terbaru mereka, kali ini menyasarkan Parti Kebebasan Kurdistan, salah satu kumpulan yang berpangkalan di utara Iraq. - AFP

Berita Harian X