BAITULMAQDIS: Mayat seorang remaja Israel yang maut akibat kemalangan jalan raya di Tebing Barat diserahkan semula pihak berkuasa Palestin kepada keluarganya.
Tiran Fero, 17, seorang etnik Druze di Israel, dibawa ke hospital di Jenin, Tebing Barat berikutan satu kemalangan dan disalah anggap sebagai anggota tentera Israel.
Ketika mendapat rawatan, remaja itu berada dalam keadaan kritikal dan keluarganya mendakwa kumpulan bersenjata Palestin menculiknya dari hospital dan selepas dia meninggal dunia, menahan mayatnya daripada dihantar semula ke Israel.
Warga Israel atau mayat mereka sering dilarikan sebelum ini untuk digunakan sebagai pertukaran bagi pembebasan warga Palestin yang dipenjarakan atau pemulangan mayat pejuang Palestin dalam simpanan Israel.
Sumber Jihad Islam memberitahu AFP bahawa satu perjumpaan diadakan kelmarin antara kumpulan Fatah, Pertubuhan Pembebasan Palestinian (PLO) dan pihak berkuasa Palestin berhubung isu mayat Tiran.
"Tuntutan yang dibuat ialah supaya pihak berkuasa Palestin memberi tekanan kepada Israel untuk memulangkan jenazah 148 pejuang Palestin yang mati syahid," kata sumber terbabit.
Perdana Menteri Israel, Yair Lapid semalam mengugut untuk mengambil tindakan tegas sekiranya Palestin masih menahan mayat remaja terbabit.
Namun, selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan, pihak berkuasa Palestin bersetuju untuk menyerahkan semula mayat remaja itu kepada keluarganya.
Selepas penyerahan itu, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz mengucapkan terima kasih kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Selepas mayat Tiran diserahkan, Lapid mengucapkan takziah kepada keluarganya dan masyarakat atas kematian tragik remaja yang sepatutnya menyambut ulang tahun ke 18 semalam.
Dalam perkembangan lain, tentera Israel bertindak merobohkan sebuah sekolah rendah yang baru dibina untuk penduduk Palestin di wilayah Masafer Yatta, selatan Hebron di Tebing Barat.
Lapor Al Jazeera, pegawai dan penduduk setempat berkata, tentera Israel menyerbu kawasan itu pada pagi semalam dan merobohkan sekolah itu yang terletak di perkampungan Isfey al-Fauqa.
Menurut ketua majlis tempatan Masafer Yatta, Nidal Younis, tentera Israel bertindak demikian ketika pelajar berada di dalam kelas dan sesi pembelajaran sedang berlangsung.
"Pasukan tentera juga menggunakan bunyi bom untuk menakut-nakutkan kanak-kanak dan mengusir mereka keluar dari sekolah," katanya.
Berdasarkan Majlis Pelarian Norway, mahkamah tinggi Israel membatalkan injuksi sementara yang membekukan perintah merobohkan sekolah itu.
Tindakan itu dilaksana beberapa hari selepas seorang pelajar Palestin berusia 18 tahun ditembak mati oleh tentera Israel ketika dalam perjalanan ke sekolah di luar kem pelarian Jenin utara Tebing Barat yang dijajah rejim zionis.
Dalam pada itu, COGAT dan badan tentera Israel bagi urusan pentadbiran di Tebing Barat memaklumkan pihaknya merobohkan bangunan dibina secara haram di kawasan yang ditetapkan sebagai zon tembakan tertutup. - AGENSI