Khamis, 24 November 2022 | 12:51pm
Foto tangkap layar video AFP menunjukkan pekerja di kilang iphone Foxconn di Zhengzhou bertempur dengan polis dan petugas kesihatan yang memakai sut PPE. - Foto AFPTV TEAMS /AFPTV/AFP)
Foto tangkap layar video AFP menunjukkan pekerja di kilang iphone Foxconn di Zhengzhou bertempur dengan polis dan petugas kesihatan yang memakai sut PPE. - Foto AFPTV TEAMS /AFPTV/AFP)

Protes di kilang iPhone, Zhengzhou laksana perintah berkurung mulai esok

BEIJING: Kerajaan China mengarahkan pelaksanaan perintah berkurung di beberapa daerah di Zhengzhou, yang juga lokasi utama menempatkan kilang pengeluaran iPhone, selepas tindakan keganasan membabitkan penunjuk perasaan dengan pihak polis di premis berkenaan.

Penduduk di pusat bandar Zhenghzhou tidak boleh meninggalkan kawasan itu melainkan ujian saringan mereka didapati negatif dan mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Kerajaan tempatan turut berkata, penduduk dinasihatkan tidak meninggalkan kediaman masing-masing, melainkan jika ada keperluan penting.

Sekatan yang dijadualkan selama lima hari mulai tengah malam esok menjejaskan lebih 6 juta orang, atau kira-kira separuh daripada penduduk bandar di wilayah tengah China.

Notis kerajaan yang dikeluarkan semalam turut mengarahkan penduduk di lapan daerah menjalani ujian saringan setiap hari sepanjang tempoh perintah berkurung berkenaan.

Arahan itu dikeluarkan selepas protes dengan tindakan berunsur keganasan tercetus di kompleks kilang iPhone di bandar itu.

Kilang itu, yang dimiliki oleh syarikat teknologi gergasi Taiwan, Foxconn, berdepan sekatan COVID-19 selama lebih sebulan di tengah-tengah peningkatan kes di asrama pekerjanya.

Rakaman video yang disiarkan bulan lalu menunjukkan kumpulan pekerja yang panik dan melarikan diri dari kilang dengan berjalan kaki berikutan dakwaan keadaan buruk di premis itu.

Sementara itu, kerajaan Zhengzou berkata, penularan wabak COVID-19 di bandar itu 'masih teruk dan rumit'.

Untuk rekod, kilang utama iPhone di sini berdepan kekecohan susulan rasa puas hati pekerjanya terhadap langkah ketat membendung penularan COVID-19.

Sebelum ini, Foxxconn yang juga pengeluar iPhone terbesar di Taiwan memaklumkan pengeluarannya terjejas dan berusaha mengatasi masalah itu.

Kesan ke atas pengeluaran produk itu berlaku di tengah-tengah waktu puncak pengeluaran produk elektronik itu menjelang musim cuti akhir tahun.

Jumlah harian kes COVID-19 di negara itu mencecah angka tertinggi semalam, iaitu 31,454 kes tempatan, ia agak kecil berbanding dengan 1.4 bilion penduduk China tetapi melebihi kemuncak yang dicatatkan pada pertengahan April lalu ketika Shanghai menguatkuasakan peritnah berkurung.

Zhengzhou merekodkan 675 kes baharu COVID-19 hari ini, sebahagian besarnya, tidak bergejala. - AFP

Berita Harian X