Selasa, 22 November 2022 | 4:10pm
China melaporkan tiga kematian baharu akibat COVID-19 pada hujung minggu, kesemuanya warga emas di Beijing. - Foto AFP
China melaporkan tiga kematian baharu akibat COVID-19 pada hujung minggu, kesemuanya warga emas di Beijing. - Foto AFP

Beijing catat rekod kes COVID-19, wabak China meningkat

BEIJING: Beijing mencatatkan rekod jumlah kes COVID-19 baharu tertinggi iaitu 1,438 kes, meningkat dua kali ganda daripada 621 kes pada Ahad lalu.

Peningkatan itu berlaku ketika bandar itu melaksanakan sekatan ketat dengan belajar secara dalam talian, restoran ditutup dan memaksa pekerja bekerja dari rumah.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, dilaporkan lebih 28,000 jangkitan baharu di seluruh negara iaitu menghampiri rekod tertinggi sejak wabak itu bermula di mana wilayah Guangdong dan bandar Chongqing masing-masing mencatatkan lebih 16,000 dan 6,300 kes.

Walaupun China masih berpegang kepada dasar sifar COVID-19, tetapi kes tetap meningkat, mendorong pegawai mengurangkan sekatan seperti berlaku di Shanghai hingga merosakkan ekonomi dan imej antarabangsa hab kewangan itu.

Walaupun Beijing mengelak penutupan menyeluruh, terdapat penguatkuasaan secara meluas terhadap bangunan individu dan barisan ujian PCR yang panjang kerana perlu keputusan negatif 24 jam untuk berada di ruang awam.

Pada hujung minggu, pihak berkuasa menasihatkan penduduk untuk tinggal di rumah dan tidak melakukan perjalanan antara daerah, manakala semalam memerlukan pengembara untuk melakukan ujian semasa tiba.

Banyak tarikan pelancong, gim dan taman ditutup serta acara berskala besar seperti konsert dibatalkan.

China mengisytiharkan kelonggaran sekatan pada 11 November lalu untuk mengehadkan kesan ekonomi dan sosial daripada langkah sifar COVID-19.

Bagaimanapun, beberapa bandar di China kembali mewajibkan semula ujian saringan akibat sukar mengawal varian Omicron yang merebak dengan pantas.

Shijiazhuang, yang sebelum ini membatalkan ujian besar-besaran, memulakan penutupan separa semalam selepas kes meningkat, manakala beberapa daerah di pusat gempa selatan Guangzhou juga ditutup pada hari yang sama. - AFP

Berita Harian X