BEIJING: Pelajar sekolah di beberapa daerah Beijing terpaksa mengikuti pembelajaran secara dalam talian hari ini, susulan pegawai mengarahkan penduduk tidak meninggalkan rumah berikutan kes COVID-19 di ibu negara semakin meningkat.
Ketika ini, China sedang memerangi penularan wabak COVID-19, dari Zhengzhou di wilayah tengah Henan hingga ke ke barat daya Chongqing dan sehingga semalam, 26,824 kes baharu tempatan dilaporkan, menghampiri rekod kemuncak April lalu.
Selain itu, dua kematian dicatatkan di Beijing semalam, selain satu korban direkodkan kelmarin (Sabtu) iaitu rekod kematian pertama di China sejak akhir Mei.
Guangzhou, bandar selatan didiami hampir 19 juta penduduk, sedang memerangi wabak terbesar di China yang merebak baru-baru ini, dengan pihak berkuasa mengarahkan perintah berkurung lima hari di daerah Baiyun, yang mempunyai jumlah penduduk paling ramai.
Selain itu, pihak berkuasa itu turut menyekat perkhidmatan makan di premis dan menutup kelab malam serta teater di Tianhe, iaitu daerah perniagaan utama di bandar itu.
Pasaran saham Asia dan harga minyak dilaporkan menyusut hari ini susulan kebimbangan pelabur mengenai kejatuhan ekonomi akibat COVID-19 yang semakin meruncing di China, dengan menghindari risiko yang memanfaatkan bon dan dolar.
Gelombang terbaru sedang menguji iltizam China untuk berpegang pada pelarasan yang sudah dibuatnya terhadap dasar sifar COVID-19, yang menggesa semua bandar mematuhi langkah menyasarkan kawalan ketat, sekatan dan ujian yang menutupi ekonomi serta mengecewakan penduduk.
Bagaimanapun beberapa bandar China mula mengecilkan skala ujian rutin COVID-19 terhadap komuniti bermula minggu lalu termasuk bandar utara Shijiazhuang.
Ini menjadikan bandar berkenaan subjek spekulasi kuat bahawa ia berfungsi sebagai lokasi ujian bagi pelonggaran dasar, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan.
Namun lewat semalam, Shijiazhuang mengumumkan, pihaknya akan menjalankan ujian besar-besaran di enam daripada lapan daerahnya dalam tempoh lima hari ini selepas kes tempatan harian baharu mencecah 641 kes.
Dalam pada itu, pihak berkenaan menggalakkan penduduk membeli keperluan secara dalam talian dan mengarahkan beberapa sekolah menangguhkan pengajaran secara bersemuka.
Ibu kota Beijing melaporkan 962 jangkitan baharu, meningkat daripada 621 sehari sebelumnya.
Daerah Chaoyangnya yang menempatkan 3.5 juta orang, menggesa penduduk tidak keluar rumah, dengan menjalani aktiviti persekolahan secara dalam talian.
Beberapa sekolah di Haidian, Dongcheng dan Xicheng juga menangguhkan pengajaran secara bersemuka.
Usaha China baru-baru ini untuk menjadikan sekatan COVID-19 lebih disasarkan, mencetuskan harapan pelabur untuk pelonggaran lebih ketara walaupun ketika China menghadapi musim sejuk pertamanya melawan varian Omicron yang dikatakan sangat mudah berjangkit.
Capital Economics menulis dalam notanya hari ini, menyatakan ia hanya menjangka dan keluar daripada sifar COVID pada separuh kedua 2023.
"Daripada perspektif epidemiologi dan politik, kami tidak fikir negara ini bersedia untuk membuka semula," katanya. - REUTERS