GUANGZHOU: Pekerja perubatan China berusaha sedaya upaya merawat pesakit COVID-19 yang kritikal dan teruk serta meneruskan usaha menghentikan penyebaran virus itu di ibu kota wilayah Guangdong, Guangzhou.
Timbalan Pengarah dan Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Guangzhou, Zhang Yi, berkata sistem rundingan pakar disediakan mengikut keadaan kesihatan pesakit dan mereka dirawat dengan kaedah rawatan tradisional Cina dan Barat.
Bandar itu melaporkan 275 kes tempatan yang disahkan dan 8,486 pembawa tanpa gejala pada Rabu, lalu termasuk seorang pesakit kritikal dan seorang pesakit teruk.
Ini adalah kali pertama bandar raya itu melaporkan kes di unit rawatan rapi (ICU), di mana jumlah daripada wabak terbaru meningkat kepada lebih 45,000 kes sejak akhir Oktober.
"Hospital melaksanakan 'satu kes, satu rawatan' untuk kes khas bagi pesakit kronik yang teruk serta wanita hamil," katanya.
Haizhu, daerah yang paling teruk dilanda wabak di Guangzhou, melaporkan 8,582 daripada 8,761 jangkitan di bandar itu Rabu lalu, dengan 92.6 peratus dikesan di daerah Fengyang, Nanzhou dan Huazhou.
Sementara itu, Setiausaha Parti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Guangzhou, Zhang Zhoubin, berkata indeks transmisi masa nyata - iaitu angka yang menentukan bilangan orang yang boleh dijangkiti oleh orang lain - di Haizhu sudah dikurangkan kepada 1.5 menjelang Khamis.
Kadar itu berkurangan daripada 2.2 yang dicatatkan minggu lalu, dan ia turun naik antara 1.4 dan 1.5 dalam tempoh empat hari yang lalu.
"Ia menunjukkan bahawa langkah pencegahan dan kawalan yang diambil pada minggu lalu berkesan dalam mengekang penularan virus di Haizhu.
"Jumlah kes yang masih meningkat dikesan di Haizhu mencerminkan realiti bahawa Haizhu mempunyai sejumlah besar orang yang dijangkiti.
"Itu sebabnya indeks transmisi masa nyata sudah berkurangan, tetapi banyak jangkitan masih dikesan di daerah ini," katanya.
Timbalan Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Beijing, Liu Xiaofeng, berkata ancaman wabak masih berkembang dan risiko penyebaran tersembunyi pada peringkat komuniti masih wujud.
"Wabak semasa membabitkan beberapa kawasan industri dan kawasan padat penduduk, termasuk sekolah, kampung bandar dan tapak pembinaan," katanya. - AGENSI